Juwan Riduan

Ranau: Pendaki Gunung Kinabalu yang terjatuh dan tercedera di Kilometer (KM) 5.8 di sini, hari ini diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR).

Lelaki berusia 27 tahun terbabit sukar bergerak dan dilaporkan perlu dibantu untuk turun ke kaki gunung selepas terjatuh dalam kejadian pada 11.30 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.58 pagi.

Menurutnya, sepasukan 21 anggota dan pegawai termasuk MOSAR dan malim gunung dikerah ke lokasi kejadian.

Anggota bomba mengusung mangsa yang tercedera ketika mendaki Gunung Kinabalu dekat Ranau hari ini. Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba mengusung mangsa yang tercedera ketika mendaki Gunung Kinabalu dekat Ranau hari ini. Foto Ihsan JBPM

"Sebaik tiba di lokasi, mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota PBB MOSAR dan peserta latihan Ex-Storm bagi memastikan mangsa berada dalam keadaan stabil dan selamat.

"Mangsa seterusnya dibawa turun ke 'Timpohon Gate' menggunakan pengusung oleh pasukan penyelamat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 6:40 PM