Seorang daripada pendaki didukung anggota MOSAR. FOTO ihsan bomba
Seorang daripada pendaki didukung anggota MOSAR. FOTO ihsan bomba
Cleo Will


Ranau: Dua pendaki wanita masing-masing berusia 23 dan 27 tahun yang mengalami akut gunung (Acute Mountain Sickness) ketika mendaki gunung Kinabalu, di sini, diselamatkan sepasukan anggota Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR), kira-kira 8 malam tadi.

Kedua-dua pendaki, Sarah Sakinah, 23, dan rakannya Sarinah Razanah, 27, dikatakan mendaki gunung Kinabalu bersama beberapa lagi rakan mereka dari Kota Kinabalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau Jimmy Lagung berkata, kedua-dua mangsa dikatakan mengalami loya dan kesejukan.

"Sarinah ditemui di laluan kilometer (km) 5.7 manakala Sarah di km 5.6 dan mereka terpaksa didukung oleh anggota MOSAR sejauh 400 meter.

"Kedua-dua mangsa dibawa ke Laban Rata untuk rawatan lanjut dan diberikan minuman air panas. Keadaan mereka stabil," katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Menurutnya, tekanan udara rendah punca mereka mengalami akut gunung.

Difahamkan, ketika kejadian suhu berada pada 10 hingga 16 darjah celsius dan berkabus serta hujan renyai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 11:14 PM