Redzuan Muharam


“MULA-MULA memang takut tetapi saya beranikan diri untuk belajar memandu kerana mahu berdikari dan enggan menyusahkan orang sekeliling,” kata Norfarrah Syahirah Shaari, 31.

Norfarrah, 31 adalah Orang Kurang Upaya (OKU) yang kudung kedua belah tangan sejak lahir dan menggunakan kaki untuk melakukan kerja harian termasuk memandu ke tempat kerja serta lain-lain destinasi.

Menurut Norfarrah, rutin memandu itu dilakukannya sejak tujuh tahun lalu dan sudah dapat membiasakan diri walaupun ketika berseorangan.

Katanya, dulu, bapa, Shaari Othman, 64, kerap berulang alik dari rumah untuk menghantar dan mengambilnya pulang dari tempat kerja dan keadaan itu membuatkan dia terfikir sampai bila perlu mengharapkan bapanya serta orang sekeliling.

“Bertitik tolak dari situ, timbul keinginan untuk memiliki lesen memandu dan mulanya, saya tidak yakin sehingga melihat kebolehan seorang rakan OKU memandu walaupun dalam keadaan fizikal yang serba kekurangan.

“Sejak itu juga, saya kerap berhubung dengannya (rakan OKU) untuk bertanya dengan lebih lanjut sebelum memberanikan diri untuk belajar dan alhamdulillah, saya lulus dalam ujian memandu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

NORFARRAH mahu berdikari dan enggan menyusahkan orang sekeliling. FOTO Muhaizan Yahya
NORFARRAH mahu berdikari dan enggan menyusahkan orang sekeliling. FOTO Muhaizan Yahya

Norfarrah yang kini bertugas sebagai pembantu tadbir di Kolej Komuniti Teluk Intan, Perak berkata, dia mengambil masa dua minggu saja untuk membiasakan diri memandu menggunakan kaki.

Menurut Norfarrah, perkara paling sukar dilakukannya ketika mula memandu adalah meletak kenderaan dalam keadaan mengundur.

“Memang sukar tetapi tak sampai sebulan, saya sudah dapat membiasakan diri untuk memandu sendiri dengan yakin.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan setakat ini, saya belum pernah terbabit dengan kemalangan jalan raya.

“Malah, saya selesa memandu dengan kedua belah kaki dan tidak timbul masalah kerana selama ini, rutin harian lain turut dilakukan dengan anggota berkenaan,” katanya.

Norfarrah berkata, dia tidak sangka videonya memandu menggunakan kaki tular di laman sosial dan hanya tahu mengenai perkara itu selepas diberitahu oleh rakannya.

“Terkejut dan pada masa sama gembira kerana ramai memberi sokongan dan kata semangat kepada saya.

“Terima kasih kepada semua dan saya percaya, ramai lagi OKU di luar sana yang mempunyai kebolehan luar biasa.

“Apa yang penting, mereka kuat semangat dan sentiasa berusaha kerana status sebagai OKU bukan alasan untuk menyusahkan orang sekeliling,” katanya yang juga aktif sebagai penceramah jemputan di sekolah sekitar Perak.

NORFARRAH dibantu rakan sekerja, Nadziah Talib (kiri) melakukan kerja sebagai pembantu tadbir di Kolej Komuniti Teluk Intan. FOTO Muhaizan Yahya
NORFARRAH dibantu rakan sekerja, Nadziah Talib (kiri) melakukan kerja sebagai pembantu tadbir di Kolej Komuniti Teluk Intan. FOTO Muhaizan Yahya

Sementara itu, Nur Fazila Jani, 19, berkata, dia adalah individu yang merakam video Norfarrah memandu di dalam kereta dan memuat naiknya di Twitter, semalam dengan tujuan berkongsi pengalamannya dengan pengikut.

Katanya, dia tidak sangka video itu mendapat perhatian warganet hingga tular di laman sosial.

“Saya berkenalan dengan Kak Farrah (panggilan untuk Norfarrah) ketika dia menjadi penceramah jemputan di sebuah sekolah.

“Selesai program, saya menaiki kereta bersamanya dan pada waktu itulah saya berpeluang melihat kebolehannya memandu menggunakan kaki.

“Kiranya, itu kali pertama saya melihat OKU memandu menggunakan kaki dan bertindak merakam video kerana kagum dengan kebolehannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 10:15 PM