NORENA Jaafar melihat pam diesel yang dirampas dalam serbuan di Taman IKS Paya Rumput. FOTO Nuraliawati Sabri
NORENA Jaafar melihat pam diesel yang dirampas dalam serbuan di Taman IKS Paya Rumput. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri


Melaka: Kegiatan sindiket penyeludupan diesel bersubsidi di negeri ini tumpas selepas premis yang dijadikan stor penyimpanan dan stesen minyak mini di Taman IKS Paya Rumput, di sini, diserbu pihak berkuasa, tengah malam tadi.

Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, pihaknya menerima serahan kes itu daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membuat serbuan premis terbabit selepas melakukan risikan.

Beliau berkata, dalam serbuan itu sebanyak 25,000 liter diesel bersubsidi dianggarkan bernilai RM87,500 ditemui di premis terbabit selain empat lelaki berusia 20 hingga 40-an turut ditahan.

"Serbuan turut membawa penemuan sebuah premis lain yang disyaki dijadikan stesen minyak mini.

"Walaupun masih menggunakan modus operandi lama iaitu, sindiket akan keluar membeli diesel bersubsidi di stesen minyak sebelum membawa balik ke gudang simpanan untuk dijual kepada pihak industri.

"Tetapi untuk serbuan kali ini, terdapat sedikit kelainan apabila sindiket tidak lagi keluar menghantar minyak sebaliknya lori industri akan datang ke premis ini untuk mengisi minyak diesel pada harga lebih rendah berbanding pasaran," katanya.

Menurutnya, sindiket menyewa dua premis, yang mana satu untuk dijadikan lokasi penyimpanan dan yang bersebelahan pula dijadikan tempat mengisi diesel kepada lori pelanggan.

"Siasatan dijalankan mendapati mereka ini bergiat aktif sejak sebulan lalu selain dikatakan beroperasi 24 jam berdasarkan kelengkapan di dalam premis.

"Keseluruhan rampasan yang dilakukan membabitkan diesel, dua buah lori dan peralatan diguna dianggarkan bernilai RM320,000," katanya.

Norena berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 dan Seksyen 20(1) Akta yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 5:21 PM