KUMPULAN pengusaha IKS menyertai seminar Kemudahan Pinjaman anjuran Persatuan Perniagaan India Johor (JIBA). FOTO Mary Victoria Dass
KUMPULAN pengusaha IKS menyertai seminar Kemudahan Pinjaman anjuran Persatuan Perniagaan India Johor (JIBA). FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Semakin ramai peniaga tempatan didakwa menjual atau menyewakan lesen perniagaan kepada warga asing ketika pandemik Covid-19.

Pengerusi Persatuan Perniagaan India Johor (JIBA), P Siva Kumar berkata, peniaga berkenaan dikatakan hilang keyakinan bagi memulihkan perniagaan yang terjejas teruk hampir dua tahun lalu.

Katanya, mereka yang berharap untuk memulihkan perniagaan selepas pembukaan sempadan negara terutama Singapura-Malaysia dilaksanakan sebaliknya dikatakan terus berputus asa.

Sehubungan itu katanya lagi, tinjauan pihaknya mendapati warga asing berkenaan turut berniaga di pusat membeli-belah dengan menggunakan lesen perniagaan peniaga tempatan.

"Menjual atau menyewakan lesen perniagaan adalah antara punca lambakan peniaga warga asing yang menguasai perniagaan di bandar raya termasuk di pusat beli-belah.

"Dalam situasi ini, pengurusan pusat beli-belah seharusnya lebih berhati-hati sebelum membenarkan warga asing berniaga.

"Peniaga seharusnya menyedari risiko menyewa atau menjual lesen perniagaan kepada warga asing. Mereka sepatutnya seharusnya memikirkan cara memulihkan perniagaan secara berperingkat," katanya pada sidang media di Seminar Kemudahan Pinjaman bagi pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di sini, hari ini.

Seramai 30 peniaga IKS menyertai seminar berkenaan.

Sementara itu, Siva Kumar berkata, pihaknya berharap cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi membuka sempadan pada 1 Mac tidak ditangguh.

Menurutnya, sekiranya perlu, prosedur operasi standard (SOP) perlu diperketat mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan penularan varian Omicron sejak kebelakangan ini.

"Kerajaan masih memiliki ruang untuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) demi keselamatan ramai.

"Namun mereka juga seharusnya mempertimbangkan langkah sesuai supaya pembukaan sempadan dipercepatkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Februari 2022 @ 4:49 PM