Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Farmasi Superbig Kubang Kerian, di sini, menjadi farmasi komuniti pertama di negara ini menggunakan konsep pandu lalu bagi meningkatkan perkhidmatan sekali gus menjimatkan masa.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) Amrahi Buang berkata, kaunter pengambilan ubat secara pandu lalu adalah alternatif terbaik yang perlu diakses ketika penularan Covid-19.

Menurutnya, pelanggan akan berada di dalam kenderaan ketika membeli ubat-ubatan sekali gus mengasingkan diri dari kelompok orang ramai.

"Mereka hanya perlu memesan ubat-ubatan melalui kaunter pandu lalu di mana secara tidak langsung membantu mengurangkan risiko penularan pandemik Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Farmasi Komuniti Pandu Lalu Pertama Malaysia oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Datuk Mumtaz Md Nawi, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Superbig Capital Berhad, Dr Wan Sazrina Wan Zaid.

Untuk rekod, sehingga kini terdapat 22,000 ahli farmasi di seluruh negara yang berdaftar dengan MPS termasuk 4,000 ahli farmasi komuniti.

Sementara itu, Dr Wan Sazrina berkata, kaunter pandu lalu farmasi itu mampu mengurangkan kapasiti orang ramai di kaunter farmasi hospital.

"Dalam keadaan sekarang, pelanggan lebih cenderung mengunjungi farmasi bagi mendapatkan bekalan ubat-ubatan serta vitamin.

"Ini berikutan kebimbangan orang ramai dan usaha mengelak daripada bersesak di hospital dan klinik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 5:44 PM
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita Negeri Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi (kiri) ketika Perasmian Dan Pelancaran Farmasi Pandu Lalu Pertama Malaysia di Superbig Pharmacy Kubang Kerian. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita Negeri Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi (kiri) ketika Perasmian Dan Pelancaran Farmasi Pandu Lalu Pertama Malaysia di Superbig Pharmacy Kubang Kerian. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI