TUNJUK ajar kepada kakitangan sentiasa diberi bagi menjadikan mereka lebih cekap berurusan dengan pelanggan.
TUNJUK ajar kepada kakitangan sentiasa diberi bagi menjadikan mereka lebih cekap berurusan dengan pelanggan.
Siti Zarinah Sahib

Teliti sekali wanita ini bertanya kepada setiap pelanggan yang datang mendapatkan ubat di farmasi miliknya di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi.

Siapa yang demam? Berapa lama demam dan tanda lain selain demam? Laksana seorang doktor bertanya kepada pesakit dengan soalan bertubi-tubi sebelum ubat sesuai diberi.

Memang beginilah situasi setiap hari. Mereka yang datang ke farmasi akan dipastikan tidak diberikan sembarangan ubat sebelum didiagnosis oleh pakar farmasi Siti Yaziedah Mohamed Farid yang juga pengasas Farmasi Najah.

“Memang inilah yang sepatutnya dilakukan lakukan kerana sebagai ahli farmasi kami bertanggungjawab ke atas setiap ubat atau makanan tambahan yang diberi kepada pesakit. Ini bagi memastikan tidak berlaku sebarang kesilapan,” katanya memulakan bicara.

Tegas sebagai ketua namun berbicara lembut dengan pelanggan membuatkan wanita berdarah kacukan Arab- Melayu ini amat disenangi pekerja dan kakitangan farmasi. Tidak hairanlah ada di antara pelanggan setia sanggup mengunjungi farmasi itu biarpun tinggal jauh semata-mata ingin mendapatkan khidmat rundingannya.

Malah saat paling manis dan memberikan kepuasan bermakna apabila ada pelanggan datang semula sambil memberitahu dia atau ahli keluarga sembuh sepenuhnya selepas menerima ubat daripadanya.

“Memang saya terapkan kepada semua pekerja untuk memberikan konsultasi percuma kepada pelanggan. Ini sudah tanggungjawab kami. Selain ubat-ubatan, pelanggan juga akan diberi maklumat mengenai ubatan moden bersama makanan tambahan sesuai.

“Sebagai contoh jika selesema, saya akan bekalkan ubat selesema bersama herba bagi melemahkan virus dan pesakit tidak mendapat kesan sampingan lain seperti batuk atau asma. Akibat penjelasan ini makanan sunah juga mudah diterima pelanggan bukan Islam,” katanya.

SITI YAZIEDAH berazam menambah satu cawangan pada setiap tahun.
SITI YAZIEDAH berazam menambah satu cawangan pada setiap tahun.

Minat jadi ahli farmasi

Menjelaskan lebih lanjut mengapa bidang farmasi menjadi pilihan, wanita kelahiran Pulau Pinang ini berkata, sejak melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dia sudah menguatkan tekad untuk mengambil kursus Sains Farmasi disebabkan ingin bekerja di hospital.

“Selepas menamatkan pengajian, saya bertugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di jabatan farmasi. Di sini bidang tugas saya adalah melawat pesakit di wad, melihat data pesakit, interaksi ubat-ubatan dan memberi kaunseling kepada pesakit di wad. Enam bulan kemudian saya bekerja di sebuah farmasi di Ampang.

“Semasa di Ampang banyak pengalaman saya peroleh bermula daripada bidang tugas yang kecil sehingga rundingan dengan pesakit,” katanya yang terpaksa melepas jawatan disebabkan ingin memberi perhatian kepada keluarga.

Oleh kerana sudah biasa bekerja, jiwa terasa kosong. Siti Yaziedah berasakan bidang ubat-ubatan sukar dipisahkan dengan dirinya. Akhirnya dia mengambil keputusan membuka farmasi sendiri pada 2011 di Bangi.

“Inspirasi membuka perniagaan datang daripada ibu bapa saya. Ayah berasal dari Arab Saudi manakala ibu berketurunan Melayu. Keluarga sebelah ayah memang semuanya berniaga sendiri. Mungkin darah berniaga ini datang daripada ayah walaupun dia sebenarnya makan gaji.

“Saya sendiri tidak percaya mampu pergi sejauh ini. Mungkin niat saya yang mulanya ingin membantu orang lain dan memberi kefahaman mengenai ubat-ubatan menyebabkan perjalanan membuka farmasi dipermudahkan Allah.

“Kekurangan farmasi Muslim di Selangor iaitu hanya 10 peratus menguatkan semangat untuk sama-sama membangunkan ekonomi Islam,” katanya bersemangat.

Selepas enam tahun beroperasi di Bangi, tahun lalu Siti Yaziedah tekad menambah cawangan di Shah Alam dan membuka cawangan ketiga tahun ini di Semenyih, Selangor.

SITI YAZIEDAH bersama kakitangan yang juga ahli farmasi yang menjadi tunjang kejayaan selama ini
SITI YAZIEDAH bersama kakitangan yang juga ahli farmasi yang menjadi tunjang kejayaan selama ini

Bantu asnaf dapatkan ubat percuma

Siti Yaziedah mengakui pengalaman selama tujuh tahun sebagai pakar ubat memberi kelebihan kepadanya. Dia tahu selok-belok berurusan dengan pembekal ubat pada harga rendah. Malah dia juga memberikan idea untuk memudahkan urusan pemberian zakat perubatan kepada asnaf menerusi Lembaga Zakat Selangor.

“Sebelum ini golongan asnaf terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk mendapatkan ubat-ubatan, sedangkan ia di luar kemampuan mereka. Jadi saya mencadangkan satu sistem untuk asnaf mengambil secara percuma di farmasi.

“Sistem ini kemudian saya teruskan ketika membuka farmasi sendiri. Bagi saya, sebagai ahli perniagaan kita bukan meraih keuntungan semata-mata sebaliknya ingin mencari saham akhirat. Sebab itu kami turut menyediakan tabung bagi membolehkan pelanggan memberikan sumbangan untuk pembelian kerusi roda kepada golongan memerlukan,” katanya.

Sebagai ahli farmasi dan usahawan, Siti Yaziedah mempunyai dua visi berbeza. Sebagai pakar ubat dia sangat mencintai bidang ini kerana dapat meringankan masalah orang lain terutama dari sudut kesihatan dan kewangan.

Sebagai ahli perniagaan pula dia perlu memantapkan ilmu berniaga yang perlu diambil menerusi kelas usahawan.

“Memang saya banyak mengeluarkan modal untuk mengikuti kelas pemasaran dan mengambil jurulatih peribadi. Dari situ saya semakin mahir mengenai akaun, pengambilan pekerja dan juga sistem pengurusan syarikat bagi mengembangkan lagi perniagaan.

“Saya berazam menambah satu cawangan setiap tahun. Itu pun selepas saya mampu melatih staf untuk lebih mahir dan berpengalaman menguruskan bisnes seiring kehendak dan visi syarikat,” katanya.

Bercerita mengenai peranan ahli farmasi dalam mendidik masyarakat mengenai ubat-ubatan, jelas Siti Yaziedah, kerancakan media sosial dan paparan iklan membuatkan orang ramai lebih mempercayai peniaga ubat di Facebook dan Instagram berbanding golongan bertauliah.

SITI Yaziedah memberikan penerangan kepada pelanggan mengenai ubat-ubatan sesuai.
SITI Yaziedah memberikan penerangan kepada pelanggan mengenai ubat-ubatan sesuai.

“Mungkin penguatkuasaan undang-undang masih lemah membuatkan peniaga bebas menjual produk dengan memberi jaminan mampu menyembuhkan penyakit kronik sedangkan ia salah di sisi undang-undang. Kami ahli farmasi terikat dengan etika.

“Apa yang saya boleh lakukan adalah memberikan penerangan dan maklumat di Facebook Farmasi Najah dan secara terus dengan pelanggan. Sangat sedih apabila ada yang datang selepas mengalami kerosakan hati dan buah pinggang disebabkan pengambilan makanan tambahan berbahaya. Inilah sebabnya sangat penting bertemu mereka yang pakar seperti doktor dan ahli farmasi untuk mendapatkan maklumat mengenai makanan tambahan yang diambil,” katanya.

Bermula musim haji ini, Siti Yaziedah turut menyediakan set ubat yang mengandungi 12 jenis ubat untuk penyakit yang biasa dihadapi jemaah ketika berada di tanah suci. Antaranya ubat demam, selesema, sembelit, cirit-birit, batuk dan gastrik. Idea untuk menyediakan set kecil ini tercetus selepas mendengar rungutan jemaah yang mungkin terlupa membawa ubat ketika pergi ke sana.

“Ini juga sebagai salah satu cara memudahkan urusan mereka di sana dengan menempatkannya di dalam beg kecil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 3:51 PM