CLAUDE menyampaikan ucapan pada acara perasmian Kongres Ahli Farmasi Bayer.
CLAUDE menyampaikan ucapan pada acara perasmian Kongres Ahli Farmasi Bayer.
Siti Zarinah Sahib

Pengguna dan pesakit kini lebih proaktif menjaga kesihatan diri, lebih-lebih lagi dalam dunia digital yang membawa revolusi perindustrian 4.0 dan era kecerdasan buatan.

Ini dapat dibuktikan apabila di Malaysia, terdapat peningkatan dalam pengambilan pemakanan tambahan, vitamin dan mineral serta ubat pelengkap seperti herba untuk mencegah, merawat atau menguruskan masalah kesihatan.

Malangnya, ramai yang hanya mendapatkan informasi menerusi jurujual dalam talian tanpa merujuk kepada pakar perubatan. Akibatnya pelbagai masalah kesihatan mulai timbul sehingga sukar dirawat.

Menyedari pentingnya masyarakat mendapatkan nasihat mengenai pengambilan ubat-ubatan dan makanan tambahan Bayer Co (Malaysia) Sdn Bhd (Bayer) melancarkan Kongres Ahli Farmasi Bayer, yang dihadiri lebih 300 ahli farmasi komuniti dari seluruh rantau ASEAN.

Bertemakan Memperkasakan Ahli Farmasi Komuniti, kongres dengan kerjasama Bayer, Persatuan Farmasi Malaysia dan Persatuan Farmasi Komuniti Malaysia diadakan bagi mendorong ahli farmasi membantu pengguna membuat pilihan penjagaan diri dengan lebih tepat.

Syarikat itu percaya usaha menggalakkan orang ramai menjaga kesihatan adalah penting untuk meningkatkan kesejahteraan dan mewujudkan sistem penjagaan kesihatan yang lebih sempurna.

Menurut Presiden Persatuan Farmasi Malaysia Amrahi Buang, peranan ahli farmasi kini semakin berkembang seiring keperluan penjagaan kesihatan pengguna dan pesakit. Ahli farmasi memainkan peranan lebih besar mengenai skop pengagihan ubat kepada komuniti.

“Mereka mesti menjalankan tiga tugas utama iaitu sebagai pakar ubat, penjaga ubat dan profesional penjagaan kesihatan. Mereka juga memainkan peranan lebih besar dalam aktiviti penjagaan pesakit termasuk pendidikan dan kaunseling untuk pengguna, pengurusan ubat dan meningkatkan tahap keselamatan ubat.

“Untuk itu ahli farmasi tempatan sepatutnya mengubah sikap dan pendekatan dengan membina kemahiran lebih tinggi bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang pantas berkembang,” katanya.

Presiden Persatuan Farmasi Komuniti Malaysia Lovy Beh menjelaskan, dalam persekitaran penjagaan kesihatan yang sentiasa berubah dan digugat oleh kemajuan terkini, jenis produk dan perkhidmatan ditawarkan ahli farmasi komuniti semakin meluas dan akan terus berubah seiring peredaran zaman.

“Ahli farmasi tidak boleh hanya berpuas hati dengan keadaan semasa tetapi perlu mengubah cara bekerja dan menjalankan perniagaan. Kita perlu mengambil kira perkembangan dalam pendigitalan, Internet barangan, kecerdasan buatan dan robotik.

“Farmasi dan penjagaan kesihatan ialah industri yang dikawal selia dengan ketat dan kini lebih mencabar bagi ahli farmasi komuniti untuk berkecimpung dalam pasaran,” katanya.

Menurut Ketua Serantau, Asia Pasifik India, Bahagian Kesihatan Pengguna Bayer, Claude Bacos, di Malaysia usaha ini akan memberi tumpuan kepada memperkasakan ahli farmasi untuk membantu pengguna mengambil langkah meningkatkan tahap kesihatan masing-masing.

Ahli farmasi adalah sebahagian penting daripada sistem penjagaan kesihatan. Mereka berperanan sebagai penasihat kesihatan yang dipercayai, memandangkan kerap berhubung dan berinteraksi dengan pengguna dan pesakit.

“Mereka sudah lama menyediakan perkhidmatan kesihatan di Malaysia dan kekal sebagai salah satu profesion paling dihormati di negara ini. Seperti semua profesional kesihatan lain, peranan ahli farmasi sentiasa berubah dan boleh disesuaikan dengan trend kesihatan terkini. Ahli farmasi komuniti kini lebih terbabit dalam pendidikan pesakit dan kaunseling selain penyesuaian ubat.

“Ini bermakna golongan ini mesti mempunyai tahap komunikasi cemerlang dan kemahiran untuk menyelesaikan masalah,” katanya.

Kongres ini menjadi wadah untuk ahli farmasi komuniti mengamalkan kemahiran baharu, demi pembangunan profesional di tempat kerja .

Antara acara yang diadakan termasuk perbincangan panel untuk meningkatkan kemahiran pengurusan farmasi, menambah baik kemahiran komunikasi, dan petua praktikal dalam bidang alahan, pemakanan dan kesihatan wanita demi meningkatkan tahap perhubungan dan kualiti penjagaan pelanggan.

Topik ini dirangka khas untuk mencetus kemajuan dalam amalan farmasi komuniti, lantas memperkasakan ahli farmasi komuniti untuk membantu pengguna menikmati kehidupan yang lebih sihat, cergas dan sejahtera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 3:24 PM