GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Kementerian Kesihatan (KKM) digesa supaya memberi perhatian teliti terhadap kekurangan ubat biasa di klinik swasta dan farmasi komuniti di negara ini.

Ia susulan laporan media mengenai 11,000 klinik dan farmasi yang berisiko menutup operasi sekiranya bekalan ubat-ubatan asas terus berkurangan dan berlarutan tanpa penyelesaian.

Timbalan Presiden Parti Gerakan Oh Tong Keong berkata, terdapat ubat-ubatan yang mengalami kekurangan dalam satu tempoh masa malah jika bekalan kadang-kadang dipulihkan, kuantitinya sangat sedikit dan bekalannya akan terputus tidak lama selepas itu.

Katanya, kekurangan bahan mentah bagi farmaseutikal dipercayai menjadi penyebab utama kepada masalah itu.

"Jika orang ramai hanya menghidap selsema dan batuk biasa, mereka akan pergi ke klinik berdekatan dalam komuniti bagi berjumpa doktor atau membeli ubat di farmasi.

"Difahamkan pada masa ini, ubat-ubatan sangat kekurangan di pasaran termasuk bagi rawatan selsema dan batuk. Masalah ini mesti diselesaikan, jika tidak ia akan mengancam kesihatan orang ramai," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masalah berkenaan adalah serius dan banyak klinik swasta serta farmasi tidak tahu cara mengatasinya sehingga memilih bagi henti operasi.

"Sehubungan itu, KKM dan Majlis Perubatan Malaysia diharap dapat bekerjasama bagi menyelesaikan masalah semasa serta memulihkan bekalan ubat-ubatan di pasaran secepat mungkin bagi melindungi kesihatan rakyat, " katanya.

Pada Julai lalu, Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Premier Malaysia (MPCAM) Dr Raj Kumar Maharajah dilaporkan berkata, kekurangan itu diramal sehingga hujung tahun ini dan boleh menyebabkan operasi tergendala jika tidak diberi perhatian.

Ubat seperti paracetamol, ubat batuk dan selesema berkurangan sehingga 30 peratus sehingga merencatkan operasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 3:39 PM