KERETA dinaiki mangsa terhumban ke dalam cerun. FOTO Rosli Ilham
KERETA dinaiki mangsa terhumban ke dalam cerun. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Dungun: Seorang pemuda maut selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan ketika mengelak seekor tapir yang melintas di Kilometer 98, Jalan Jerangau-Jabur dekat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, Mohd Norhakimin Mohd Fauzi, 26, yang tinggal di Taman Ehsan Ketengah Jaya, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Sementara rakannya, Muhammad Irfan Nazran Ibrahim, 22, yang memandu Produa Viva tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kedua-dua sahabat itu dalam perjalanan dari Ketengah Jaya ke Bandar AMBS.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, seekor tapir secara tiba-tiba melintas sebelum kereta cuba mengelak.

"Pemandu mengelak ke kiri jalan menyebabkan kereta terbabit terlanggar tiang elektrik sebelum terhumban ke dalam cerun.

"Mangsa yang juga peniaga kedai makan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 12:04 PM