KEDUA-DUA kereta Proton Iswara dan Myvi yang terbabit dalam kemalangan selepas melanggar seekor tapir (gambar kecil) di Dungun, pagi ini. FOTO Rosli Ilham
KEDUA-DUA kereta Proton Iswara dan Myvi yang terbabit dalam kemalangan selepas melanggar seekor tapir (gambar kecil) di Dungun, pagi ini. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Dungun: "Tapir itu melintas dengan cepat menyebabkan saya gagal mengelak dan melanggarnya sebelum kereta saya terbabas ke kanan jalan dan terlanggar kereta di depan," kata Jumaat Ikhwan, hari ini.

Jumaat, 50, berkata demikian selepas kereta Proton Iswara dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 8, Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Loji Air Serdang, di sini, 7 pagi hari ini.

Katanya, kejadian itu menyebabkan tapir itu cedera sebelum melarikan diri semula ke kawasan hutan berhampiran.

"Ketika kejadian, saya dalam perjalanan dari rumah di Bukit Besi ke tempat kerja di Pulau Serai dan saya dikeluarkan daripada kereta dengan bantuan orang ramai kerana kedua-dua kaki tersepit.

"Ketika berjaya dikeluarkan, saya sempat melihat keadaan tapir itu yang cedera parah di tepi jalan dan tidak bergerak," katanya yang bekerja sebagai tukang rumah.

Menurutnya, dia kemudian dihantar ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut dan bersyukur kerana tapir itu tidak mati manakala dia hanya cedera ringan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

Katanya, pemandu sebuah lagi kereta yang terbabit dalam kemalangan itu berusia 35 tahun turut cedera ringan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 8:47 PM