KEADAAN kereta Perodua Axia mangsa selepaar terlanggar tapir melintas di Kilometer 156, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Chukai, malam tadi. (Gambar kecil), tapir yang mati akibat dilanggar. FOTO ihsan pembaca.
KEADAAN kereta Perodua Axia mangsa selepaar terlanggar tapir melintas di Kilometer 156, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Chukai, malam tadi. (Gambar kecil), tapir yang mati akibat dilanggar. FOTO ihsan pembaca.
Rosli Ilham


SEEKOR tapir mati selepas dilanggar kereta dipandu seorang wanita di Kilometer 156, Jalan Jerangau-Jabor dekat Taman Perumahan Jabor, Chukai, malam tadi.

Kemalangan 9.30 malam itu menyebabkan tangan kiri wanita berkenaan, Norinda Ismail, 30, terseliuh.

Difahamkan, ketika kejadian, wanita yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Baru Cheneh.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, wanita berkenaan yang memandu Perodua Axia, gagal mengelak apabila haiwan seberat 100 kilogram itu melintas keluar dari hutan di situ.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim, berkata wanita itu melanggar tapir berkenaan sebelum kenderaannya terbabas ke dalam semak di kawasan itu.

Menurutnya, tapir terbabit dipercayai berada di kawasan itu untuk mencari makanan.

“Tapir terbabit yang cedera di bahagian kepala dan badan mati di tempat kejadian.

“Bangkai haiwan itu sudah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, jururawat berkenaan yang berjaya dikeluarkan orang ramai dihantar ke klinik kesihatan berhampiran untuk menerima rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 9:25 PM