Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Dua beradik antara enam lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh pemandu e-hailing di tempat letak kenderaan di sebuah pusat hiburan di Kepong, 28 Disember lalu.

Tertuduh, Teng Cheng Heng, 22; Chew Jun Seng, 22; Yohannes Isaac Anak Luwang, 21; Won Kok Wei, 20, serta dua beradik iaitu Ng Zhang Jing, 24 dan Ng Zhang Le, 20, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Mohd Farid Abdullah, 29, pada 1.35 pagi, 28 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

ENAM lelaki dibawa anggota polis bagi didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menyebabkan kematian pemandu E-Hailing di Kepong pada 28 Disember lalu. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ENAM lelaki dibawa anggota polis bagi didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menyebabkan kematian pemandu E-Hailing di Kepong pada 28 Disember lalu. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip manakala Peguam Rodzim Zaimy Abdul Hamid mewakili Chew sementara lima tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen berkaitan kes.

Harian Metro sebelum ini melaporkan pemandu e-hailing yang bertarung nyawa selama dua hari selepas dibelasah sekumpulan enam lelaki akibat berselisih faham dengan teman wanitanya meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), 30 Disember lalu.

Kejadian berlaku 1.35 pagi pada 28 Disember lalu, apabila seorang wanita warga asing berusia 40 tahun membuat laporan polis berkaitan teman lelakinya berusia 28 tahun diserang sekumpulan lelaki ketika mereka berada di dalam kereta di parkir sebuah pusat hiburan di Kepong.

Berita berkaitan

Pemandu e-hailing cedera dibelasah, meninggal dunia [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 2:53 PM