Acryl Sani bercakap ketika Program Pendidikan kerjasama Yayasan Bank Rakyat dan Pusat Autisme PDRM di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. FOTO AZIAH AZMEE
Acryl Sani bercakap ketika Program Pendidikan kerjasama Yayasan Bank Rakyat dan Pusat Autisme PDRM di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. FOTO AZIAH AZMEE
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan risikan dan pemantauan secara menyeluruh bagi mengesan pihak lain yang dipercayai melakukan penjualan sijil vaksin Covid-19 palsu di seluruh negara.

Tidak menolak kemungkinan wujud sindiket penjualan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengarahkan semua kontinjen negeri menjalankan siasatan.

"Setakat ini siasatan di Terengganu mengesan sindiket yang mana diusahakan oleh satu individu, tapi kita tak pasti terdapat lagi perkara sama berlaku di negeri lain.

"Justeru saya mengarahkan semua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) melalui Pengarahnya Datuk Seri Abd Jalil Hassan dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Mohd Kamarudin Md Din untuk menjalankan risikan serta mengesan sama ada berlaku di tempat lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Pendidikan kerjasama Yayasan Bank Rakyat dan Pusat Autisme PDRM Pengaman-MAIWP di sini, hari ini.

Pada Sabtu lalu, Polis Terengganu membongkar kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu dengan merampas hampir 100 keping kad peringatan (janji temu) vaksinasi.

Kegiatan itu terbongkar susulan serbuan sepasukan pegawai dan anggota JSJK yang membawa kepada penahanan seorang doktor lelaki berusia 51 tahun di sebuah klinik swasta di Marang, Terengganu pada 7 malam.

Turut ditahan enam individu termasuk seorang juruteknik berusia antara 35 hingga 57 tahun bagi membantu siasatan berhubung penipuan berkenaan.

Acryl berkata, tindakan kumpulan terbabit wajar dipandang serius kerana ia perbuatan menghalang usaha kerajaan mengawal penularan wabak Covid-19 melalui vaksinasi.

"Kita tidak mahu melihat usaha dan langkah kerajaan melakukan pencegahan ini terhalang oleh tindakan segelintir pihak menggagalkan usaha berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 12:48 PM