ABDUL Hamid ketika berucap pada hari perbarisan sempena sambutan Hari Polis ke-214 2021 di Pulapol. FOTO Bernama
ABDUL Hamid ketika berucap pada hari perbarisan sempena sambutan Hari Polis ke-214 2021 di Pulapol. FOTO Bernama
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Prosedur Operasi Standard (SOP) pengendalian siasatan terhadap golongan istimewa seperti autisme perlu dikendalikan dengan lebih berhemah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, setiap tindakan harus dibuat mengikut garis panduan dan SOP yang sudah disediakan pada Mac 2019 lalu.

"Teknik ini seharusnya lebih ringan dan tidak menggunakan teknik kasar sama ada ketika melakukan tangkapan dan ketika proses menggari.

"SOP ini sudah disediakan dalam satu buku yang harus dijadikan panduan oleh semua pegawai dan anggota yang terbabit dalam siasatan terhadap golongan autisme sama ada kanak-kanak atau orang dewasa," katanya selepas merasmikan Pusat Autisme PDRM, di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.

Hadir sama adalah Tan Sri Norian Mai, Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Penasihat Korporat Kumpulan Albukhary Foundation Datuk Seri Abdul Aziz Sahar.

Terdahulu Abdul Hamid mengimbau kembali kejadian penahanan seorang lelaki autisme berusia 22 tahun pada 11 September 2018, yang didakwa mencabul kehormatan seorang wanita di Subang, Selangor, sehingga menyebabkan PDRM dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerima kecaman dari pelbagai pihak.

"Saya sedih dengan kejadian itu dan saya tidak mahu ia berulang kembali, justeru saya mahukan setiap pegawai dan anggota di seluruh negara benar-benar memahami dan menghayati SOP dan garis panduan yang ditetapkan.

"Saya sudah mengarahkan semua Ketua Polis Negeri dan Pesuruhjaya Polis Negeri untuk memastikan buku SOP panduan menangani siasatan autisme ini sampai kepada mereka selain benar-benar difahami," katanya.

Pusat Autisme PDRM, mula beroperasi Ogos tahun lalu dengan permulaan seramai 12 kanak-kanak autisme dibantu empat tenaga pengajar.

Jumlahnya semakin hari semakin meningkat dan pada hari ini pusat yang sama mempunyai 19 kanak-kanak autisme yang dibimbing oleh enam tenaga pengajar.

Pusat yang dibina dengan peruntukan RM850,000 disasarkan untuk menjadi pusat akademi bagi kanak-kanak autisme sama ada dikalangan anak pegawai dan anggota PDRM dan anak orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 3:33 PM