Acryl Sani Abdullah Sani pada Majlis Program Pendidikan kerjasama Yayasan Bank Rakyat dan Pusat Autisme Polis Diraja Malaysia (PDRM)-Pengaman dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Pusat Autisme PDRM Pulapol hari ini. FOTO BERNAMA
Acryl Sani Abdullah Sani pada Majlis Program Pendidikan kerjasama Yayasan Bank Rakyat dan Pusat Autisme Polis Diraja Malaysia (PDRM)-Pengaman dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Pusat Autisme PDRM Pulapol hari ini. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa Palestin berhubung penahanan suspek yang disyaki terbabit dalam pembunuhan seorang pensyarah Palestin di Malaysia pada tahun 2018.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, setakat ini belum ada maklumat terperinci diperoleh mengenai penahanan itu.

"Kita (polis) masih menunggu maklumat daripada pihak berkuasa Palestin, kedutaan, Interpol dan lain-lain agensi yang dapat memberikan sedikit pencerahan mengenai isu berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Pendidikan kerjasama Yayasan Bank Rakyat dan Pusat Autisme PDRM Pengaman-MAIWP di sini, hari ini.

Harian Metro kelmarin melaporkan, seorang suspek ditahan kerana disyaki terbabit dalam pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi M R Albatsh Fatma.

Ia menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri di bawah Hamas.

Pada April 2018, Dr Fadi M R Albatsh Fatma yang juga seorang jurutera penyelidik dan dipercayai mempunyai kaitan dengan Hamas ditembak mati berhampiran rumahnya di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur oleh dua lelaki bersenjata yang kemudian melarikan diri dari tempat kejadian.

Walaupun keluarganya menuduh agensi perisik Israel Mossad melakukan pembunuhan itu, Menteri Pertahanan Israel ketika itu, Avigdor Lieberman menafikan pembabitan rejim itu dalam pembunuhan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Iyad al-Buzom dalam sidang media di bandar Gaza memaklumkan suspek mengaku dia direkrut oleh Mossad.

Media Israel menggambarkan Fadi sebagai seorang jurutera Hamas dan pakar dalam pembuatan dron dan membayangkan kemungkinan Mossad sudah memainkan peranan dalam kematiannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 2:02 PM