SAZALI (dua kiri) menunjukkan air zam zam dipercayai palsu dan minuman keras ketika sidang media di Menara Kastam. FOTO Izz Laily Hussein
SAZALI (dua kiri) menunjukkan air zam zam dipercayai palsu dan minuman keras ketika sidang media di Menara Kastam. FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras dalam enam serbuan berasingan antara Jun hingga awal bulan ini.

Pengarahnya Sazali Mohamad berkata, semua rampasan minuman keras itu dianggarkan RM2.878 juta termasuk duti dan cukai.

Beliau berkata, dalam semua serbuan yang dilakukan antara 1.30 petang, 9 Jun lalu hingga 3.30 petang, 2 Ogos lalu itu, pihaknya berjaya merampas 192,638 tin serta botol minuman keras pelbagai jenama bersamaan 70,250 liter.

"Dalam enam serbuan itu, JKDM cawangan penguatkuasaan Gelang Patah, Sungai Pulai dan Pasir Gudang menyita empat kontena, treler, dan dua lori lima tan yang disyaki mengandungi minuman keras pelbagai jenama dan dagangan yang tidak diikrar.

"Serbuan dilakukan di Bay Pemeriksaan Kastam, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, premis tidak berpenghuni di kawasan perindustrian Air Hitam, Klang, Selangor dan di Jalan Bukit Kemuning, Shah Alam, Selangor selain sebuah gudang di Jalan Cecair, Pelabuhan Johor, Pasir Gudang di sini," katanya ketika sidang media di Menara Kastam di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut menemui pelbagai barangan dagangan dengan pengikraran pengimportan yang dipercayai tidak benar.

Katanya, antara barangan yang tidak diikrar adalah 33,600 batang rokok, kasut, rak besi, peti sejuk, vakum robot, set katil, set drum digital, kabinet, beg, lampu, mesin basuh, pembesar suara dan rak penyimpanan.

"Semua barangan dagangan yang tidak diikrar dianggarkan bernilai RM692,800 dengan duti atau cukai terbabit sebanyak RM117,900.

"Kita turut merampas tiga kenderaan yang digunakan untuk mengangkut barangan larangan tidak berkastam dianggar bernilai RM240,000," katanya.

Katanya, tiga lelaki tempatan berusia antara 32 hingga 36 tahun yang berperanan sebagai wakil ejen penghantaran dan wakil pengimport juga ditahan bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha mengesan pemilik premis terbabit dan pemilik kenderaan sedang dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a), Seksyen 135(1)(d), Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 2:44 PM