Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menumpaskan dua sindiket seludup alat ganti kenderaan dan minuman keras bernilai lebih RM2.6 juta menerusi dua operasi berasingan di sini baru-baru ini.

Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad, berkata turut ditahan tiga lelaki tempatan berusia antara 34 hingga 56 tahun yang juga pemandu dan kelindan lori.

Katanya, bagi operasi pertama kira-kira jam 5.30 petang pada 30 September lalu, pihaknya merampas 9,364 alat ganti kenderaan mewah bernilai RM363,340, selain lori kontena bernilai RM80,000 dengan nilai duti dan cukai berjumlah RM145,763.25.

"Seorang pemandu lori treler berusia 51 tahun turut ditahan menerusi pemeriksaan di tepi Jalan Bertingkat Skudai, Kampung Pasir di sini.

"Modus operandi adalah dengan membuat pengikraran yang tidak benar dan mengelirukan bagi mengelakkan dikenakan cukai yang tinggi, selain kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967," katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor, hari ini.

SAZALI (dua kanan) menunjukkan barang rampasan pada sidang media di Menara Kastam Johor, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini
SAZALI (dua kanan) menunjukkan barang rampasan pada sidang media di Menara Kastam Johor, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini

Sazali berkata, bagi operasi kedua kira-kira jam 9 pagi pada 8 Oktober lalu, pihaknya menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras pelbagai jenama dianggarkan sebanyak 12,988.80 liter (17,000 botol) bernilai RM324,720 di Plaza Tol Kempas (Hala Utara) di sini.

Katanya, manakala jumlah duti dan cukai pula sebanyak RM1.7 juta, selain turut dirampas adalah lori bernilai RM100,000.

"Sindiket berkenaan didapati mengikrar barangan dibawa sebagai minuman 'mineral nutrien mixture' bagi mengelak daripada dikesan agensi penguatkuasaan dan mengaburi pandangan pihak berkuasa.

"Dua lelaki tempatan berusia 34 dan 56 tahun iaitu pemandu dan kelindan lori ditahan bagi membantu siasatan, selain kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 1:32 PM