SEBAHAGIAN daripada 5,000 botol air zam zam bernilai RM1.3 juta yang dirampas. FOTO Zuliaty Zulkiffli
SEBAHAGIAN daripada 5,000 botol air zam zam bernilai RM1.3 juta yang dirampas. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Taktik sebuah lori kontena sarat dengan muatan kotak mengandungi bahan pelembut pakaian rupa-rupanya menyembunyikan botol air zam zam tanpa permit yang cuba diseludup masuk ke negara ini.

Bagaimanapun, kegiatan itu berjaya dikesan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) apabila menemui 5,000 botol air zam zam bernilai RM1.3 juta termasuk cukai dalam pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Selasa lalu.

Kesemua air zam zam dengan setiap botol mengandungi lima liter itu dipercayai disorok di bahagian depan kontena, manakala di bahagian belakang diletakkan botol pelembut pakaian untuk mengaburi pihak berkuasa.

Pengarah JKDM Kedah, Nor Izah Abdul Latif berkata, rampasan dilakukan ketika pihaknya memeriksa sebuah lori kontena dinaiki dua lelaki warga Thailand berusia 59 dan 20-an kira-kira 11 malam.

Menurutnya, kedua-duanya yang tidak fasih berbahasa Melayu juga dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pasukan kemudian melakukan pemeriksaan lanjut dalam kontena itu yang disusun dengan kotak mengandungi botol pelembut pakaian.

"Pemeriksaan menemui barangan yang tidak diikrar iaitu botol air zam zam dalam kontena berkenaan.

"Berikutan itu, pemandu dan kelindan lori terbabit bersama kontena dibawa ke Stor Penguatkuasaan JKDM Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

"Hasil siasatan mendapati lori kontena itu didapati memasuki negara ini melalui ICQS dengan mengikrarkan dagangan sebagai botol pelembut pakaian menggunakan borang Kastam 1," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kedah, di sini, hari ini.

Nor Izah berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemui 5,000 liter air zam zam yang tidak diikrar dan tiada permit dengan anggaran sebanyak 25,000 liter bernilai RM1.3 juta termasuk cukai.

Menurutnya, berdasarkan kenyataan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan tiada pengedar atau syarikat di negara ini diberikan lesen bagi import dan penjualan air zam zam.

"Pihak kami juga meragui ketulenan air zam zam ini memandangkan Arab Saudi tidak mengeksport air zam zam ke dalam pasaran.

"Kita percaya botol pelembut yang diikrar itu hanyalah sebagai 'dummy' untuk mengaburi pihak kastam dan disusun penuh di pintu kontena untuk menyukarkan pegawai memeriksa keseluruhan dagangan yang terdapat di dalam kontena itu.

"Air zam zam ini dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk mengelak daripada cukai, malah pihak KKM juga tidak mengeluarkan sebarang permit import air zam zam ini," katanya.

Menurutnya, hasil siasatan juga mendapati kesemua botol air zam zam ini dipercayai mahu dihantar ke sebuah syarikat makanan di Jitra.

Katanya, air zam zam adalah barangan yang diklasifikasikan sebagai barangan larangan import.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (a) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 2:05 PM