Keadaan lori sawit yang terbalik di LPT1. FOTO Ihsan FB Lembaga Lebuhraya Malaysia
Keadaan lori sawit yang terbalik di LPT1. FOTO Ihsan FB Lembaga Lebuhraya Malaysia
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Sebuah lori dengan muatan buah kelapa sawit terbalik selepas merempuh lori tunda di Kilometer (KM) 206.7 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) di sini, hari ini.

Kejadian pada 9.40 pagi itu menyebabkan muatan yang dibawa bertaburan di atas jalan dan menghalang laluan di lebuh raya.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori tunda berusia 39 tahun dari arah Gambang menghala ke Temerloh secara tiba-tiba hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian.

Menurutnya, susulan itu lori terbabit seterusnya terbabas dan melanggar penghadang jalan serta menyebabkannya melintang di lebuh raya terbabit.

"Lori kelapa sawit yang dipandu lelaki berusia 27 tahun datang dari arah yang sama kemudiannya melanggar lori tunda itu dan sebuah lagi kenderaan menyebabkan kenderaan itu terbalik serta muatannya bertaburan di atas lebuh raya.

"Semua pemandu selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Mohd Zahari menjelaskan, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca daripada kecuaian pemandu lori tunda yang gagal mengawal kenderaan ketika memandu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 6:07 PM