Antara enam kenderaan terbabit dalam kemalangan dekat Kilometer 228.4, Lebuhraya Utara- Selatan (Plus) hala selatan, di sini, awal pagi tadi. Foto ihsan polis
Antara enam kenderaan terbabit dalam kemalangan dekat Kilometer 228.4, Lebuhraya Utara- Selatan (Plus) hala selatan, di sini, awal pagi tadi. Foto ihsan polis
Ahmad Hasbi


Rembau: Lima kenderaan remuk akibat merempuh guni baja yang berteraburan di atas lebuh raya susulan kemalangan awal membabitkan lori membawa muatan berkenaan.

Dalam kejadian jam 5 pagi tadi, insiden berlaku apabila sebuah lori membawa baja hilang kawalan dan melanggar besi penghadang lebuh raya di Kilometer 228.4, Lebuhraya Plus hala selatan, di sini.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, kemalangan dipercayai berpunca lori yang terbalik di tengah lebuh raya menyebabkan lima kenderaan lain merempuh muatan dibawa.

"Siasatan awal mendapati lori itu dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun dari arah Ayer Keroh, Melaka menghala ke Senawang.

"Bagaimanapun lori itu terbabas dan terbalik melintang di laluan bertentangan," katanya.

Beliau berkata, akibat daripada kemalangan itu, lima kenderaan dari arah utara terlanggar guni baja yang jatuh di atas lebuh raya.

"Pemandu lori mengalami luka ringan manakala semua mangsa lain tidak mengalami kecederaan. Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 3:20 PM