Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penderitaan yang terpaksa ditanggung seorang remaja perempuan disyaki mangsa dera seperti yang tular dalam media sosial, baru-baru ini membuatkan tiga selebriti popular iaitu Erra Fazira, Sharnaaz Ahmad dan Betty Banafe tampil menuntut keadilan dan mahu individu bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan.

Desakan itu dibuat menerusi sesi bual bicara Facebook (FB) Live yang dikendalikan Betty di akaun Facebook rasminya, malam tadi.

Menerusi sesi perbincangan anjuran Gerakan Artis Prihatin itu, Erra mengakui terkejut ketika menerima video tular membabitkan remaja itu dan penderaan yang berlaku bukan sesuatu yang patut didiamkan.

"Saya dah tengok video yang tular itu dan ia sesuatu yang sangat mengejutkan kerana kecederaan dialami remaja terbabit agak teruk. Mungkin juga penderaan ini selalu berlaku kerana ada kesan parut lama.

"Saya bersyukur ada pihak menjadikan cerita ini viral. Saya juga dimaklumkan kes ini sedang disiasat polis dan saya harap ada pembelaan kepada kejadian sebegini. Kita tak nak benda seperti ini berlaku di tempat lain.

"Walaupun kami tiada anak OKU (Orang Kelainan Upaya), tapi sebagai ibu dan bapa perkara sebegini tidak patut didiamkan. Bagi saya, benda ini perlu ditangani dengan serius," katanya.

Dalam masa sama, Betty mengakui kesal dengan sikap individu tidak bertanggungjawab yang diamanahkan menjaga remaja yatim piatu itu.

"Pembelaan ini wajar diteruskan. Kalau bukan kita dan rakyat Malaysia yang lain, siapa lagi nak bantu dia? Justeru, kita kena bersatu hati menuntut siasatan terhadap kes ini diteruskan dan membawa individu melakukan perbuatan keji itu ke muka pengadilan," katanya.

Sementara itu, Sharnaaz yang sedikit emosi dalam sesi perbincangan itu turut mempersoalkan mengapa belum ada penahanan dibuat terhadap mana-mana individu yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.

"Saya pantang bila ada isu membabitkan kanak-kanak. Si pelaku tidak boleh dibiarkan begitu saja. Kalau polis sudah melaksanakan tanggungjawab membuat siasatan, kenapa tiada tahanan reman dibuat? Apa istimewa dan kelebihan yang dia ada," katanya.

Dalam pada itu, aktivis sosial, Mona Din akan terus menegakkan keadilan untuk membela nasib yang menimpa remaja terbabit.

"Saya dimaklumkan kes ini sudah disiasat polis. Namun, sehingga keputusan menjadikan kes ini viral, belum ada perkembangan dilihat atas siasatan itu.

"Kita harap polis dapat mencari si pelaku kes itu dengan segera kerana kes ini menarik minat masyarakat dan mereka berhak tahu perkembangannya," katanya.

Turut serta dalam sesi buat bicara selama kira-kira 40 minit itu adalah pakar psikologi klinikal kanak-kanak istimewa, Azlina Roszy.

Terdahulu seorang kanak-kanak perempuan yang tinggal di sebuah rumah penjagaan di Kuala Lumpur disyaki didera, baru-baru ini.

Polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 24 Jun lalu membabitkan mangsa berusia 13 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, mangsa adalah OKU sindrom down mengalami kesan melecur di dada, tangan, leher dan paha serta kesan luka di bahagian badan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 5:18 PM