Mohd Amin Jalil

Seremban: Angka menakutkan apabila sebanyak 2,040 kes penderaan terhadap kanak-kanak dikesan berlaku hanya dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pihaknya memandang serius jumlah kes direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) antara Januari hingga April tahun ini.

Menurutnya, KPWKM tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan membabitkan hak serta kebajikan kanak-kanak.

"Saya faham dalam keadaan sekarang ramai yang menghadapi pelbagai dugaan seperti hilang pekerjaan hingga menjadikan mereka tertekan kesan daripada wabak pandemik Covid-19.

"Namun begitu, sebagai seorang dewasa, kita tidak harus menyalahkan kanak-kanak atau melepaskan tekanan serta kemarahan itu pada kanak-kanak.

"Mereka (kanak-kanak) tidak berdosa dan sepatutnya mereka disayangi dan bukannya diperlakukan sebegitu rupa (dera)," katanya selepas melawat seorang kanak-kanak yang disyaki didera yang ditempatkan di bawah penjagaan sementara di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah di sini, tadi.

Datuk Seri Rina Mohd Harun ketika sidang akhbar selepas membuat lawatan ihsan kepada seorang kanak-kanak OKU yang dipercayai didera di Taman Sinar Harapan Tengku Ampuan Najihah, Temiang. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Datuk Seri Rina Mohd Harun ketika sidang akhbar selepas membuat lawatan ihsan kepada seorang kanak-kanak OKU yang dipercayai didera di Taman Sinar Harapan Tengku Ampuan Najihah, Temiang. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Fatimah Zuraidah Salleh dan Pengarah JKM Negeri Sembilan, Rosnah Sardi.

Dalam laporan media baru-baru ini, seorang kanak-kanak perempuan yang tinggal di sebuah rumah penjagaan di Wangsa Maju Kuala Lumpur mengalami luka pada anggota badan disyaki didera.

Polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 24 Jun lalu membabitkan mangsa berusia 13 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff dilaporkan berkata, mangsa adalah orang kurang upaya (OKU) mengalami kesan melecur di dada, tangan, leher dan paha serta kesan luka di bahagian badan lain.

Mangsa dikatakan tinggal di kondominium berkenaan sejak 14 Julai 2020 dan sudah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 6:54 PM