RAKAMAN video dan gambar mengenai kanak-kanak didera yang tular di Facebook. FOTO Facebook
RAKAMAN video dan gambar mengenai kanak-kanak didera yang tular di Facebook. FOTO Facebook
Hasbi Sidek


POLIS menahan seorang wanita di Batu Caves, Gombak, 5 petang hari ini, bagi membantu siasatan berhubung satu video tular yang memaparkan kanak-kanak didera.

Difahamkan, kejadian berlaku tahun lalu di Batu Caves, namun video berkenaan tular sejak pagi hari ini sebelum seorang individu membuat laporan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, video itu memaparkan seorang kanak-kanak ditendang beberapa kali.

“Pengadu menonton video ini yang memaparkan kanak-kanak dipukul seorang wanita sebelum membuat satu laporan polis.

“Pasukan dari JSJ Selangor menahan suspek di restoran dekat Jalan Sungai Tua, Batu Caves. Suspek seorang wanita berusia 30 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku di apartment dekat Taman Raintree, Batu Caves pada 2018.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak dan suspek akan direman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Terdahulu, seorang pemilik akaun Facebook yang membuat satu hantaran bersama rakaman kejadian dan turut menyertakan nama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 8:06 PM