Keadaan laluan masuk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dinaiki air akibat banjir di Kolej Kediaman Perwira UTHM, Batu Pahat, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Keadaan laluan masuk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dinaiki air akibat banjir di Kolej Kediaman Perwira UTHM, Batu Pahat, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Banjir di daerah Kluang pulih sepenuhnya apabila 56 mangsa banjir daripada 11 keluarga yang terakhir dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, mereka yang sebelum ini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau dibenarkan pulang selepas PPS itu ditutup pada jam 12 tengah hari.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, dengan penutupan PPS itu menyumbang kepada jumlah mangsa banjir di Johor yang terus berkurang menjadi 44,089 (12,486 keluarga) setakat jam 4 petang ini.

"Semua mangsa banjir itu kini ditempatkan di 173 pusat pemindahan banjir (PPS) di lima daerah terjejas.

"Sebanyak lima daerah yang masih terjejas setakat ini iaitu Batu Pahat, Muar, Tangkak, Segamat dan Mersing dan semuanya merekodkan jumlah mangsa banjir yang berkurangan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Azmi, Batu Pahat menunjukkan sedikit penurunan mangsa banjir dan kini seramai 37,563 orang (10,545 keluarga) yang kini ditempatkan di 112 PPS di daerah itu.

Katanya, di Muar pula, jumlah mangsa banjir menurun kepada 3,250 orang (966 keluarga) di 19 PPS manakala Segamat pula kini tinggal 1,005 mangsa banjir (251 keluarga) di 20 PPS.

"Tangkak dan Mersing pula berkurang dengan jumlah mangsa banjir masing-masing 2,061 orang (673 keluarga) di 19 PPS dan 210 orang (51 keluarga) yang ditempatkan di tiga PPS," katanya.

Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula tiada mengeluarkan sebarang amaran hujan berterusan mahu pun ribut petir semua daerah di Johor.

Bagi laporan cuaca sebenar pula setakat tengah hari ini menunjukkan hanya Muar, Mersing, Pontian dan Batu Pahat dilaporkan hujan dan enam daerah lain dilaporkan cerah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 5:20 PM