R Vidyananthan
R Vidyananthan
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Sebanyak 81 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di negeri ini bagi menempatkan keseluruhan 5,588 mangsa banjir daripada 1,505 keluarga yang terjejas, setakat jam 4 petang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata ia berbanding hanya 79 PPS membabitkan 5,598 orang daripada 1,516 keluarga, pada jam 12 tengah hari tadi.

Katanya, pembukaan dua lagi PPS itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemereh, Segamat, yang menempatkan 78 mangsa daripada 24 keluarga dan Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Chondong, Tangkak, yang menempatkan 12 mangsa daripada tiga keluarga.

"Segamat masih menjadi daerah paling terjejas banjir di negeri ini apabila meningkat kepada seramai 4,105 orang daripada 1,116 keluarga yang ditempatkan di 55 PPS.

"Ia berbanding hanya 4,103 mangsa daripada 1,114 keluarga yang ditempatkan di 53 PPS, jam 12 tengah hari tadi.

"Mangsa banjir paling ramai adalah di PPS Dewan Serbaguna Logah, Segamat (519 mangsa daripada 136 keluarga), Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tenang (502 mangsa daripada 157 keluarga) diikuti SJK (C) Tah Kang di Segamat dengan 394 mangsa daripada 102 keluarga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, empat daerah turut merekodkan pertambahan mangsa banjir meliputi Mersing dengan 546 orang daripada 139 keluarga di tujuh PPS dan Tangkak dengan 472 mangsa daripada 119 keluarga di 10 PPS.

"Turut bertambah adalah daerah Kluang dengan 116 mangsa daripada 35 keluarga ditempatkan di sebuah PPS dan Muar dengan 116 mangsa dari 30 keluarga di empat PPS.

"Manakala, dua daerah yang merekodkan penurunan adalah Kota Tinggi dengan 131 mangsa daripada 38 keluarga ditempatkan di dua PPS dan Batu Pahat dengan 102 mangsa daripada 28 keluarga di dua PPS," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 6:23 PM