KEADAAN banjir di Seri Gading, Batu Pahat Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
KEADAAN banjir di Seri Gading, Batu Pahat Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Jumlah mangsa banjir di Johor berkurang sedikit kepada 44,934 (13,699 keluarga) setakat jam 12 tengah hari berbanding 45,218 orang (12,781 keluarga) jam 8 pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, semua mangsa banjir itu kini ditempatkan di 173 pusat pemindahan banjir (PPS) di enam daerah terjejas.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, di Batu Pahat saja menunjukkan sedikit peningkatan mencecah 38,135 orang (10,683 keluarga) yang kini ditempatkan di 111 PPS di daerah itu.

"Sebanyak enam daerah yang masih terjejas setakat ini iaitu Batu Pahat, Muar, Tangkak, Segamat, Mersing dan Kluang.

"Sehingga jam 8 pagi ini, Batu Pahat saja yang masih mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir, tiga yang lain menurun, manakala dua daerah kekal.

"Di Muar, jumlah mangsa banjir menurun kepada 3,432 orang (1,022 keluarga) di 19 PPS, Segamat pula kini tinggal 1,019 mangsa banjir (255 keluarga) di 20 PPS dan Kluang berkurang kepada 56 orang (11 keluarga) di sebuah PPS.

"Tangkak dan Mersing pula kekal dengan jumlah mangsa banjir masing-masing 2,073 orang (675 keluarga) di 19 PPS dan 219 orang (53 keluarga) yang ditempatkan di tiga PPS," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula tiada mengeluarkan sebarang amaran hujan berterusan mahu pun ribut petir semua daerah di Johor.

Laporan cuaca setakat tengah hari ini menunjukkan hanya Muar, Segamat, Batu Pahat Dan Tangkak dilaporkan cerah dan enam daerah lain dilaporkan hujan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 12:25 PM