PPS di Dewan SMK Abdul Rahman Talib, Changkat Jong. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
PPS di Dewan SMK Abdul Rahman Talib, Changkat Jong. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi

Teluk Intan: Situasi banjir di Hilir Perak semakin pulih, apabila hanya 147 mangsa daripada 43 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS), setakat 8.30 pagi ini.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Hilir Perak, jumlah itu menurun berbanding 252 orang daripada 70 keluarga yang dilaporkan pagi semalam.

PPS di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Batu 4 di Changkat Jong menempatkan seramai 48 orang daripada 10 keluarga.

Mereka terdiri daripada penduduk dari Kampung Batu 7, Jalan Changkat Jong; Batu 7 1/2, Lorong Mesra dan Kampung Baru Batu 8.

Dewan Bandaran Teluk Intan pula menempatkan 99 mangsa membabitkan 34 keluarga.

Mereka dari kampung Batu 7 1/2, Lorong Mesra; Batu 9 Changkat Jong, Batu 10 Jalan Bidor, Batu 15 Kampung Ayer Hitam, Batu 6 Kampung Glouster dan Kampung Selat Manggis, Sungai Kerawai.

Kedua-dua PPS berkenaan dibuka sejak Ahad lalu selepas penempatan penduduk dinaiki air susulan limpahan air Sungai Bidor, akibat hujan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 9:35 AM