RAKAMAN insiden yang dikongsi pengguna TikTok.
RAKAMAN insiden yang dikongsi pengguna TikTok.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebuah kereta terbabit kemalangan berhampiran sebuah sekolah di Jalan Syed Putra, di sini, terpaksa ditunda dalam keadaan terbalik bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi lapan saat yang tular melalui aplikasi TikTok memaparkan trak tunda Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunda sebuah kereta dalam keadaan terbalik, jam 9.30 malam tadi.

"Hasil siasatan dilakukan mendapati kejadian itu berlaku 10.55 pagi pada 18 Disember lalu berhampiran sebuah sekolah di Jalan Syed Putra.

"Ketika kejadian, Unit Tunda JSPT Kuala Lumpur menunda sebuah kereta Proton Saga BLM yang terbalik di bahu jalan berhampiran dengan longkang dalam keadaan keempat-empat tayar di atas akibat kemalangan semasa cuaca hujan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kereta berkenaan tidak boleh digerakkan ke posisi asal disebabkan terdapat longkang.

"Sekiranya kenderaan terbabit ditarik pada posisi itu berkemungkinan kedua-dua tayar belakang akan tersangkut di dalam longkang.

"Kereta itu hanya boleh dikembalikan ke posisi asal, sekiranya diterbalikkan di permukaan yang rata.

"Selepas mendapat persetujuan pemandu kereta terbabit, ia kemudian ditarik sejauh lima meter di atas jalan raya sebelum diberhentikan dan diterbalikkan ke posisi asal oleh anggota JSPT dengan bantuan orang awam," katanya.

Katanya, tindakan itu terpaksa diambil bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, petugas dan pemilik kereta berkenaan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

"JSPT juga menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu dalam keadaan jalan basah disebabkan cuaca hujan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 10:00 AM