MANGSA kemalangan bas, Teen Choon Hwa dibawa keluar dari wad kecemasan selepas menjalani rawatan.
MANGSA kemalangan bas, Teen Choon Hwa dibawa keluar dari wad kecemasan selepas menjalani rawatan.
Mohd Hafizee Arop dan Asrizal Aris

Tapah: Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Somsak Din Keliaw berkata, kemalangan berlaku selepas bas berkenaan melanggar tayar lori yang berada di tengah laluan menyebabkan ia hilang kawalan dan merempuh kereta yang diletak bahu jalan sebelum terbabas dan terbalik ke dalam longkang berhampiran dan terbakar.

“Bas bersama kereta yang dirempuh itu terbakar menyebabkan tujuh penumpang bas yang semuanya berada di tempat duduk hadapan maut akibat rentung manakala 23 lagi penumpang serta pemandu bas keluar dari bas,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, bas persiaran dinaiki 30 penumpang serta seorang pemandu itu terbakar 80 peratus. Sebuah kereta Daihatsu Charade yang dirempuh bas berkenaan juga rentung.

Kemalangan mengakibatkan lapan maut iaitu tujuh penumpang yang rentung manakala 21 penumpang lain cedera dengan enam daripadanya parah.

Bagaimanapun menurut Somsak, pemandu bas itu meninggal dunia pada jam 4.15 pagi ketika dipindahkan dari Hospital Tapah ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut.

Katanya, enam daripada penumpang cedera kini dirawat di beberapa hospital termasuk HRPB, Hospital Fatimah dan KPJ Ipoh, manakala 15 yang cedera ringan di rawat di Hospital Tapah sebagai pesakit luar.

Somsak berkata, berdasarkan keterangan saksi serta pemandu kereta yang dirempuh, tayar lori berserta rim yang berada di tengah laluan menjadi punca bas itu terbabas selepas gagal mengelak dan melanggarnya.

“Pemandu kereta Daihatsu itu memberhentikan kereta di bahu jalan di kawasan berumput dan keluar untuk mengalihkan tayar berkenaan namun tidak sempat.

“Tayar lori berkenaan dipercayai mungkin tercicir atau tertanggal dari lori, namun setakat ini belum dapat dipastikan bagaimana ia boleh berada di tengah-tengah lebuh raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:20 AM