Pemandangan dari udara keadaan di pinggir Sungai Langat, Hulu Langat hari ini. Foto Aizuddin Saad
Pemandangan dari udara keadaan di pinggir Sungai Langat, Hulu Langat hari ini. Foto Aizuddin Saad
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat dan Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam mencatatkan paras bahaya (merah) setakat 2.45 petang hari ini.

Menurut laporan terkini di laman sesawang InfoBanjir, Sungai Selangor di Kampung Asahan, Kuala Selangor pula berada pada tahap amaran (jingga), manakala empat sungai di paras berjaga-jaga.

"Empat sungai di tahap berjaga-jaga itu adalah Sungai Langat di TNB Pangsun, Hulu Langat; Sungai Selangor di Rantau Panjang dan Sungai Buloh di Parit Mahang (Kuala Selangor) serta Sungai Langat di Dengkil (Sepang)," kata kenyataan itu.

Sementara itu, 10 lokasi Sungai Klang di seluruh Selangor berada pada tahap normal, ia membabitkan masing-masing satu di Gombak, Hulu Langat, Sepang; dua di Klang dan lima di Petaling.

Sebagaimana arahan pihak berkuasa dan pasukan penyelamat sebelum ini, orang ramai diingatkan agar mengelakkan diri ke kawasan berisiko dan dinaiki air demi keselamatan masing-masing.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, belum ada sebarang arahan berpindah setakat tengah hari tadi khususnya kepada penduduk di kawasan berisiko banjir

Bagaimanapun, pihaknya sentiasa memantau keadaan di lokasi berisiko banjir ini, selain meminta penduduk juga lebih berwaspada.

"Belum (keluar arahan pindah). Pemantauan berterusan (oleh bomba)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 3:47 PM