GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


SELANGOR mencatatkan 37 kes baharu Covid-19 setakat 12 tengah hari semalam, berbanding 20 kes kelmarin.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi Twitter memaklumkan peningkatan kes harian yang berterusan sejak beberapa hari lalu itu membimbangkan.

"Peningkatan kes harian yang pasti merisaukan. Namun, suka saya maklumkan butiran kepada pecahan 37 kes, hari ini (semalam), sebagaimana laporan bilik gerakan Covid-19 Selangor ialah 21 kes membabitkan depot tahanan Semenyih (warga asing), tiga kes di Pasar Sungai Chua di Kajang, tiga kes di Hulu Selangor, empat kes import, manakala enam kes tempatan," tulisnya di Twitter.

Semalam, Selangor kembali dengan status zon merah apabila Hulu Langat yang sebelum ini yang berada di zon kuning merekodkan 45 kes aktif kelmarin.

Kali terakhir Selangor berada dalam zon merah adalah pada 18 Mei lalu apabila Petaling merekodkan 50 kes aktif. Bagaimanapun, daerah itu kini hanya mempunyai 25 kes aktif.

Sementara itu, berdasarkan maklumat yang dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di laman web menteri besar, amirudinshari.com, pertambahan 37 kes baharu itu menjadikan jumlah kes terkumpul adalah 1,730 kes.

"Tiada perubahan demografi zon pada hari ini. Namun pertambahan ketara 25 kes aktif baru hari ini (semalam) di daerah Hulu Langat menyebabkan keseluruhan kes aktif di daerah itu menjadi 75.

"Sepanjang musim perayaan ini, tolong amalkan penjarakan sosial, jaga kebersihan, pakai pelitup muka dan daftar SELangkah bagi kediaman anda. Berjaga-jaga ketika beraya, jangan sehingga terlupa situasi kronik Covid-19 negara.

"Sayangi kebebasan anda dengan berdisiplin dan bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, tujuh daerah yang masih kekal berada di zon kuning adalah Petaling (26), Gombak (21), Kuala Selangor (9), Hulu Selangor (11), Klang (4), Sepang (6) dan Sabak Bernam (3) manakala Kuala Langat pula kekal di zon hijau.

Sehingga kini, Selangor merekod 1,501 kes sembuh; 150 kes aktif dan 22 kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 10:14 AM