Anggota KPDNHEP Negeri Perlis sedang memeriksa bekalan minyak diesel yang disimpan secara tidak sah di sebuah premis di Sungai Batu Pahat, Mukim Beseri. FOTO IHSAN KPDNHEP Perlis
Anggota KPDNHEP Negeri Perlis sedang memeriksa bekalan minyak diesel yang disimpan secara tidak sah di sebuah premis di Sungai Batu Pahat, Mukim Beseri. FOTO IHSAN KPDNHEP Perlis
Aizat Sharif


Kangar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Perlis merampas 8,600 liter diesel bernilai RM18,490 yang disimpan tanpa kebenaran di sebuah premis berhampiran kawasan kuari di Sungai Batu Pahat, Mukim Beseri di sini, semalam.

Pengarahnya, Norazah Jaapar berkata, serbuan dijalankan jam 1 tengah hari oleh tujuh anggota diketuai Pegawai Penguatkuasa Mohamad Amir Abdullah.

"Serbuan dijalankan selepas kami menerima maklumat bahawa premis itu digunakan untuk menyimpan bekalan diesel tanpa kebenaran.

"Semasa pemeriksaan, premis tersebut tidak berpenghuni dan kami menyita 8,600 liter diesel disimpan di dalam tangki," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, premis itu dipercayai sudah beroperasi sejak setahun lalu dan diesel itu untuk kegunaan di kuari berhampiran.

"Operasi dijalankan untuk membanteras penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan di negeri ini.

"Adalah satu kesalahan untuk menyimpan barangan kawalan berjadual seperti diesel tanpa kebenaran daripada pengawal bekalan," katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kedua atau berulang, boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Mana-mana pihak yang berurusan dengan penggunaan petrol dan diesel perlu memohon kebenaran secara bertulis daripada KPDNHEP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 4:55 PM