PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP Kedah melakukan pemeriksaan sebuah lori yang ditahan bersama pemandunya ketika mengisi diesel di sebuah stesen minyak di Kubang Rotan.FOTO Ihsan KPDNHEP
PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP Kedah melakukan pemeriksaan sebuah lori yang ditahan bersama pemandunya ketika mengisi diesel di sebuah stesen minyak di Kubang Rotan.FOTO Ihsan KPDNHEP
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Pemandu lori ditahan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah ketika sedang mengisi diesel di sebuah stesen minyak di Kubang Rotan di sini hari ini.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu didapati sedang mengisi diesel ke dalam 23 tong ketika pemeriksaan pada 11 pagi.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kedah Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, hasil pemeriksaan mendapati pemandu lori itu gagal mengemukakan permit khas iaitu surat kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh pihak KPDNHEP.

Menurutnya, siasatan mendapati diesel itu dibeli untuk kegunaan jentera berat di kawasan projek saliran berdekatan.

"Bahan bakar yang sepatutnya digunakan oleh jentera bagi projek itu adalah minyak komersial yang dibeli daripada pemborong sah dan bukannya diesel," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Shahran berkata, jumlah diesel yang sempat dibelinya ketika serbuan adalah 318 liter dengan nilai RM684.

Menurutnya, kesemua diesel dan lori tiga tan itu dirampas untuk membantu siasatan yang membabitkan jumlah sitaan bernilai RM16,000.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah akan melakukan kesalahan dan dibaca bersama di bawah peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.

"Kesalahan bagi peraturan itu ialah tiada sesiapa boleh berniaga dengan cara jual borong atau jual runcit apa-apa barang berjadual atau mengilang kecuali di bawah dan mengikut satu lesen yang dikeluarkan di bawah Peraturan 4," katanya.

Mohd Shahran berkata, tindakan turut diambil terhadap stesen minyak terbabit mengikut Peraturan 21 (1) PPKB 1974 kerana melanggar syarat lesen iaitu membenarkan pembeli membeli dan memasukkan minyak selain dari tangki kenderaan.

Menurutnya, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta untuk individu atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan membabitkan syarikat boleh didenda tidak lebih RM2 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 5:57 PM