Nik Azhar menunjukkan pelbagai ikan sungai yang berjaya ditangkap. FOTO ROSLI ILHAM
Nik Azhar menunjukkan pelbagai ikan sungai yang berjaya ditangkap. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham


Dungun: Kehadiran musim tengkujuh serta fenomena air pasang besar memberi peluang penduduk Kampung Jerangau Sungai, dekat sini, memukat ikan sungai, sekali gus menambah rezeki mereka.

Penduduk, Nik Azhar Daud, 36, berkata paras air sungai Jerangau yang naik menyebabkan ikan sungai bermutu tinggi mula memasuki kawasan paya dan anak sungai, sekali gus membolehkan penduduk memasang pukat.

Menurutnya, ikan sungai seperti lampam, baung sungai, ikan ubi, sepat, ikan rong , terebu dan kenjing antara spesies mendapat permintaan tinggi.

"Ikan sungai dijual di antara RM6 hingga RM25 sekilogram mengikut saiz dan spesies ikan dan setiap hari saya memperoleh hasil tangkapan sekitar 50 kilogram.

"Ikan ini tidak sempat saya bawa keluar dari kampung dan ia habis dalam tempoh sejam dibeli penduduk sekitar," katanya.

Menurutnya, keenakan ikan sungai menyebabkan pembeli tidak kisah untuk berbelanja lebih dan menunggu pada setiap pagi untuk mendapatkan bekalan ikan sungai segar.

Katanya, selain dijual, ikan itu disalai secara tradisional dengan menggunakan dapur khas dipanggil para yang diperbuat daripada buluh.

"Proses salai ini mengambil masa selama lima jam dan ia amat diminati pelanggan kerana ikan salai amat sedap dan beraroma setelah dimasak.

"Secara keseluruhan, penduduk mampu memperoleh pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan hasil daripada jualan ikan sungai segar pada musim tengkujuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 4:41 PM