Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: Musim tengkujuh yang melanda saban tahun bukan sahaja membimbangkan penduduk, malah ia turut dirasai penternak ikan sangkar di Kampung Batu Lada, Mengkebang.

Penternak ikan sangkar Rohaimin Yusoff, 49, berkata sejak beberapa hari lalu, keadaan cuaca tidak menentu menyebabkan dia mulai resah.

Menurutnya, dia turut mengarahkan pekerjanya untuk memantau 35 sangkar ikan yang diusahakan di Sungai Kelantan sejak Januari lalu kerana bimbang kesemua sangkar berkenaan hanyut dibawa arus deras.

Katanya, lebih membimbangkan, terdapat hampir 100,000 ekor ikan pelbagai spesis seperti ikan keli, patin, tilapia, baung dan lampam dengan ada antaranya sudah boleh dijual kepada peniaga kedai makan atau restoran.

"Ikan yang sudah mencapai tempoh matang boleh dijual kerana kelewatan daripada jadual akan menambahkan kos makanan selain risiko sangkar pecah serta hanyut pada musim tengkujuh ini.

"Selepas terjejas akibat Covid-19, saya tidak sanggup lagi menanggung kerugian kerana sudah mengeluarkan modal besar untuk mengusahakan ternakan ikan sangkar ini," katanya ketika ditemui di sangkar ikan miliknya, di sini, hari ini.

Rohaimin berkata, risiko sangkar dihanyutkan arus deras selain jaring pecah kerana dirempuh balak ketika musim tengkujuh antara igauan ngeri penternak ikan sangkar.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pelbagai persiapan terpaksa dibuat awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekali gus mengelakkan kerugian.

SUKRI mengheret sangkar ikan ke tebing selepas ia dihanyutkan arus deras. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
SUKRI mengheret sangkar ikan ke tebing selepas ia dihanyutkan arus deras. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

"Sehingga kini, saya sudah mengambil langkah awal termasuk mengikat sangkar pada pokok berdekatan sungai, selain membuat pemantauan pada setiap masa bagi memastikan balak dan bongkah kayu tidak melanggar sangkar.

"Disebabkan sangkar ikan terlalu banyak, saya memecahkannya kepada dua bahagian bagi memastikan sangkar-sangkar ini tidak memberi beban kepada tali yang diikat pada pokok.

"Tindakan mengikat sangkar pada pokok di tepi sungai dapat membantu mengelak sangkar ikan dihanyutkan arus deras yang boleh berlaku pada bila-bila masa," katanya.

Katanya, pada musim hujan yang tidak menentu sekarang, dia dan pekerjanya lebih kerap ke sangkar ikan untuk memastikan sebarang objek yang dihanyutkan air tidak merempuh sangkar.

Sementara itu, pekerja, Sukri Hassan, 37, berkata, sejak tiga hari lalu, dia akan memantau kesemua sangkar ikan berkenaan 24 jam disebabkan bimbang paras air sungai naik secara mendadak.

"Jika hujan lebat berterusan sepanjang hari, saya rela tidak tidur kerana ingin memastikan sangkar ikan tidak mengalami sebarang masalah.

"Tiga hari lalu, kedudukan tali yang diikat pada sangkar adalah sama dengan paras tebing, namun pagi ini air sedikit surut menyebabkan kami terpaksa mengendurkan tali bagi memastikan sangkar tidak terapung sekali gus menyebabkan ikan terlepas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 2:09 PM