ASRAH  menyediakan ikan salai yang dijual di tepi Jalan Jerantut-Jengka dekat Kampung Pedah.
ASRAH menyediakan ikan salai yang dijual di tepi Jalan Jerantut-Jengka dekat Kampung Pedah.
Mohd Rafi Mamat


Jerantut: Kedatangan Ramadan tahun ini membawa rahmat kepada penduduk di sekitar Sungai Pahang apabila permintaan terhadap ikan salai meningkat sehingga tiga kali ganda berbanding bulan sebelumnya.

Ia berikutan ramai penduduk setempat dan pengunjung dari luar negeri ini ingin mendapatkan ikan berkenaan sebagai hidangan berbuka puasa dan sahur.

Ikan patin, tilapia merah dan baung yang disalai menjadi antara produk tradisional terkenal di daerah ini dan banyak dijual di tepi Jalan Jerantut-Jengka dekat Kampung Pedah dekat sini.

Peniaga ikan salai, Asrah Ahmad, 40, berkata, permintaan ikan salai yang meningkat secara mendadak sepanjang bulan Ramadan menyebabkan ada kalanya menyebabkan bekalan produk itu cepat kehabisan.

Menurutnya, dia menjual ikan salai dengan harga RM50 sekilogram membabitkan pelbagai jenis ikan sungai yang diternak dan hidup liar di Sungai Pahang, di sini.

“Pada bulan lain, saya mampu menjual antara 20 hingga 40 ikan salai, namun pada Ramadan, jumlahnya bertambah dua hingga tiga kali ganda. Patin, tilapia merah dan baung antara ikan salai yang mendapat permintaan begitu menggalakkan.

“Aroma asap kayu api yang melekat pada daging ikan menjadi tarikan utamanya. Ikan salai enak jika dimasak gulai lemak dan dimakan ketika panas pada waktu berbuka puasa,” katanya.

Ibu kepada lima anak itu yang lapan tahun berniaga ikan salai berkata, ada beberapa proses perlu dilakukan dalam menghasilkan ikan salai.

Katanya, selepas disiang, ikan perlu digaul dengan garam dan kunyit hidup sebelum disalai di atas bara api kayu selama dua jam.

Selepas itu, ikan yang dibelah dua perlu diterbalikkan beberapa kali bagi mengelak dagingnya hangus dan menjadi hitam.

Asrah yang turut menjalankan projek ternakan ikan sangkar di Sungai Pahang berkata, selain menjual ikan salai, dia juga menghasilkan daging salai yang dijual dengan harga RM60 sekilogram.

Katanya, daging segar yang digunakan membuatkan produk dihasilkan mendapat sambutan menggalakkan.

Menurutnya, selera masyarakat setempat dan pelancong terhadap ikan air tawar akan bertambah setiap kali Ramadan, dia mampu menjual antara 120 hingga 130 ekor ikan patin, tilapia merah dan baung sehari.

“Bagi memastikan peminat ikan salai tidak lari ke gerai lain, saya sentiasa menjaga kualiti ikan yang dihasilkan. Saya hanya menjual ikan yang baru disalai. Setiap hari proses menyalai dilakukan antara empat hingga lima kali.

“Saya mampu menjual ikan salai pada harga berpatutan kerana menggunakan ikan yang diternak sendiri,” katanya yang mempunyai 30 sangkar ikan di Sungai Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 11:39 AM