Foto hiasan
Foto hiasan
Omar Ahmad

Johor Bahru: Sepuluh 10 warganegara asing etnik Rohingya didenda dengan nilai keseluruhan RM7,100 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas didapati bersalah kerana tiada lesen memandu, tiada perlindungan insuran dan mengubah suai struktur kenderaan.

Kesemua mereka didenda antara RM300 hingga RM800 seorang oleh mahkamah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, kesemua mereka itu adalah antara yang ditahan dan dikesan melakukan kesalahan dalam satu operasi khas motosikal roda tiga pada 16 November lalu.

"Sepanjang operasi berkenaan, pihak polis menahan 15 motosikal roda tiga yang didapati diubah suai dan ditunggang warga asing terbabit.

"Ketika pemantauan dibuat, penunggang motosikal roda tiga itu membawa barang lusuh untuk dijual di kedai kitar semula dan menunggang secara bahaya serta mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

"Dalam operasi itui, sebanyak 45 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal iaitu 15 saman mengikut Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tiada lesen memandu," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Rupiah, sebanyak 15 lagi saman dikeluarkan mengikut Seksyen 90 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tiada perlindungan insuran kenderaan, manakala baki saman dikeluarkan mengikut peraturan 34 LN 170/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana ubah suai struktur kenderaan.

"Kesemua 15 motosikal roda tiga turut disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 9:24 PM