Op Samseng Jalanan, Op Motosikal/Pelbagai Kesalahhan yang diadakan selama tiga hari bermula Khamis hingga semalam di sekitar pusat bandar.  FOTO Ihsan PDRM
Op Samseng Jalanan, Op Motosikal/Pelbagai Kesalahhan yang diadakan selama tiga hari bermula Khamis hingga semalam di sekitar pusat bandar. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tindakan 14 lelaki memandu di bawah pengaruh alkohol mengundang padah apabila mereka ditahan dalam Op Samseng Jalanan, Op Motosikal/Pelbagai Kesalahan yang diadakan selama tiga hari bermula Khamis hingga semalam.

Operasi itu diadakan di sekitar pusat bandar, Jalan Genting Klang, Jalan Loke Yew, Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Zulkafli Chek Lah berkata, mereka yang berusia antara 25 hingga 54 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 45 (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh mengikut seksyen yang sama.

"Dalam operasi itu, seorang penunggang motosikal berusia 16 tahun turut ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) 1955 dan akan dituduh mengikut Seksyen 108(3)(e) APJ 1987 kerana kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

"Secara keseluruhan sebanyak 361 jumlah saman dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan dan 22 motosikal disita mengikut Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal.

"Dalam operasi sama pihak JSPT Kuala Lumpur turut bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kuala Lumpur dan mengeluarkan sebanyak 10 saman terhadap penunggang motosikal yang melakukan kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 9:57 AM