ISMAIL menunjukkan nombor pendaftaran kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi dalam operasi di Jalan Bangsar, semalam. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
ISMAIL menunjukkan nombor pendaftaran kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi dalam operasi di Jalan Bangsar, semalam. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Nor Azizah Mokhtar


TERDAPAT pemilik kenderaan masih berdegil apabila didapati menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi atau ‘fancy’ sekali gus melanggar peraturan yang ditetapkan.

Situasi itu dikesan menerusi Ops Pengarah yang dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur di Jalan Bangsar berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, semalam.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Ismail Mohd Zawawi berkata, dalam tempoh dua jam bermula jam 8.30 malam, sebanyak 36 kenderaan terutama kereta dan motosikal dikesan menggunakan nombor pendaftaran ekstrim dan tidak mengikut spesifikasi.

“Kesemua pemilik kenderaan terbabit dikenakan saman serta-merta dan turut diberikan notis mengikut Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu notis arah periksa kenderaan.

“Mereka diberi tempoh masa 10 hari daripada tarikh notis dikeluarkan untuk hadir ke pejabat JPJ, dan tindakan susulan akan diambil termasuk disenarai hitam jika berdegil,” katanya pada sidang media di lokasi operasi.

Menurutnya, dalam operasi itu sebanyak 280 saman dikeluarkan terhadap pengguna atas pelbagai kesalahan terutama tiada lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh serta cukai jalan tamat tempoh.

“Sebanyak 144 saman dikeluarkan atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh, manakala 125 saman kerana tiada lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh.

“Dalam pada itu, sebanyak 10 kenderaan yang didapati menggunakan cermin gelap tidak mengikut spesifikasi turut disaman,” katanya.

Secara keseluruhan, sebanyak 1,264 kenderaan diperiksa dalam operasi yang berakhir pada jam 10.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 1:34 AM