P Niruben dihadapkan di Mahlamah Majistret Port Dickson atas tuduhan membunuh bapanya K Paramasivan. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
P Niruben dihadapkan di Mahlamah Majistret Port Dickson atas tuduhan membunuh bapanya K Paramasivan. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, tadi, atas tuduhan membunuh bapa kandungnya.

Tertuduh, P Niruben, 26, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret V Vanita. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati membunuh K Paramasivan, 49, pada 5 Ogos di rumah keluarganya di Taman D'Ambang Kota, Lukut di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga boleh dikenakan hukuman sebat jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Ezzati Mohd Zainal tidak menawarkan ikat jamin kepada tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 September ini sebagai sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut dipukul anak lelakinya Sabtu lalu, selepas mangsa dikatakan mabuk dan membuat bising yang menjadi punca berlaku pergaduhan antara dua beranak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 11:59 AM