Mohd Azlan (depan) bersama kakitangan mahkamah hadir ke HSI untuk membacakan pertuduhan terhadap seorang lelaki berusia 54 tahun tengah hari tadi. FOTO Mohd Sabran Mohd Sani
Mohd Azlan (depan) bersama kakitangan mahkamah hadir ke HSI untuk membacakan pertuduhan terhadap seorang lelaki berusia 54 tahun tengah hari tadi. FOTO Mohd Sabran Mohd Sani
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Lelaki berusia 54 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas didakwa membunuh anaknya berusia 23 tahun dalam kejadian di rumah mereka di Jalan Permatang 24, Taman Desa Jaya, di sini, pada 22 November lalu.

Pertuduhan membabitkan lelaki berkenaan, Nasaruddin Abdullah terpaksa dilakukan di wad Hospital Sultan Ismail (HSI) dekat sini, yang bertukar menjadi kamar mahkamah kerana tertuduh sedang menerima rawatan akibat kecederaan dialaminya dalam kejadian itu.

Tertuduh, mengangguk faham ketika kertas pertuduhan membabitkan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Mohd Azlan Shah Allias.

Tertuduh didakwa membunuh Azrul Hanafi Nasaruddin.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 9 Januari depan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 4:13 PM