FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

Ipoh: Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui terapung di Sungai Kinta, Pasir Puteh di sini pada 26 Mei lepas, selepas diculik.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kelima-lima tertuduh berusia antara 26 hingga 40 tahun itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh, S Jeyenthiran, 34; S Simeon, 31; Basharuddin Hammersla, 26; T Selvamani, 40; dan V Thiruganesh, 36, didakwa bersama-sama dua orang yang masih bebas menyebabkan kematian A Preshna, 40, di Jalan Che Puteh di sini, antara 7.30 pagi hingga 5.30 petang, 23 Mei lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Jeyenthiran, Simeon, Basharuddin dan Selvamani turut didakwa menculik Preshna, seorang penganggur di bangunan terbiar Jubilee Park di sini pada kira-kira 7.30 pagi hari yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 364 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K Darinee manakala kesemua tertuduh diwakili peguam K Nahtan dan Charan Singh.

Majistret kemudian menetapkan 4 Ogos untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz dalam kenyataan berkata, pihaknya sedang mengesan dua lagi lelaki yang masih bebas bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Individu berkenaan ialah Harjit Singh Terlok Singh atau dikenali sebagai Kishen, 25, yang beralamat di Menglembu di sini dan M Muralitharan atau nama panggilannya Murali, 23, yang beralamat di Tanjung Rambutan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 1:55 PM