Salah seorang mangsa banjir menjalani ujian kesihatan di PPS SK Gual To'Deh, di sini, hari ini. FOTO IHSAN JKM
Salah seorang mangsa banjir menjalani ujian kesihatan di PPS SK Gual To'Deh, di sini, hari ini. FOTO IHSAN JKM
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Semua mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh di sini, menjalani saringan Covid-19 terlebih dahulu.

Saringan dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini turut mendapati semua 31 mangsa membabitkan enam keluarga yang ditempatkan ke PPS itu bebas sebarang gejala Covid-19.

Pegawai Kesihatan Daerah Pasir Mas, Dr Najihah Mahfuzah Zakaria berkata, pemeriksaan wajib dilakukan terhadap setiap mangsa banjir yang mendaftar di PPS termasuk memeriksa suhu badan dan tekanan darah tinggi selain mengenal pasti simptom seperti batuk dan selsema.

"Alhamdulillah, semua mangsa termasuk warga emas dan kanak-kanak berada dalam keadaan baik, namun mereka sentiasa diingatkan untuk menjaga prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal serta memakai pelitup muka.

"Malah, kakitangan kesihatan turut memberi perhatian kepada mangsa yang mempunyai masalah kesihatan atau berpenyakit sebagai persiapan awal jika berlaku sebarang kecemasan sepanjang mereka di PPS

"Bekalan ubat-ubatan turut disediakan kepada mangsa yang memerlukan kerana mungkin ada mangsa tidak sempat membawa bekalan ubat ketika berpindah ke PPS," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Najihah berkata, semua orang dewasa yang berpindah ke PPS berkenaan juga sudah lengkap dua dos vaksin sekali gus dapat mengurangkan risiko penularan wabak penyakit selain menitik beratkan pematuhan SOP supaya tiada kluster baru membabitkan mangsa banjir.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Kamarudin Setapa, 53, memuji tindakan KKM yang hadir ke PPS membuat ujian kesihatan kerana dia mengakui khuatir untuk berada di situ kerana wabak Covid-19.

"Selepas diberitahu bahawa kesemua mangsa dalam keadaan baik dan tidak bergejala, saya berasa lega dan dapat menjalani hari-hari dengan selesa di PPS.

"Terima kasih kepada pihak KKM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia dan agensi lain yang membantu kami yang juga golongan awal yang berpindah ke PPS akibat banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 3:42 PM