Raja Noraina Raja Rahim dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Saringan Covid-19 tidak akan dilakukan kepada semua mangsa banjir yang ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) sebaliknya hanya kepada individu bergejala atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah memberikan panduan Covid-19 di PPS mangsa banjir di negeri terjejas.

Katanya, panduan itu boleh digunakan semua pihak untuk memantau keadaan semasa.

"Buat masa ini kita sudah memberi panduan bagi memastikan PPS mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Tindakan itu bertujuan mengelak jangkitan dan antara langkahnya adalah menerusi penyediaan kubikel atau penghadang untuk mengasingkan mangsa dan arahan pemakaian pelitup muka.

"Saringan pula hanya akan dijalankan sekiranya ada indikasi atau gejala, bukannya keseluruhan melainkan ada kes disebabkan kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham memberi penjelasan itu bagi menjawab soalan pemberita yang berita yang bertanya adakah satu keperluan melakukan ujian saringan untuk mangsa banjir yang ditempatkan di PPS.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 8:06 PM