Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Lelaki menjadikan kilang milik keluarganya di Kampung Cheras Baru, di sini sebagai stor menyimpan dadah bernilai lebih RM1 juta bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun kegiatan lelaki berusia 36 tahun itu terbongkar selepas polis menyerbu kilang terbabit menerusi Op Kingfisher yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, serbuan pada jam 4 petang itu turut berjaya menahan suspek.

"Hasil serbuan berjaya merampas dadah jenis ketamin seberat 20.66 kilogram (kg), methamphetamine (7.4 kg), ecstasi (3.30 kg) yang dianggarkan bernilai RM1.52 juta.

"Suspek didapati aktif menjadikan kilang yang sudah tidak beroperasi sebagai tempat penyimpanan dadah sejak pertengahan tahun ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

YAHAYA (tengah) melihat barangan rampasan selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Azhar Ramli.
YAHAYA (tengah) melihat barangan rampasan selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Azhar Ramli.

Yahaya berkata, siasatan awal mendapati kilang terbabit sebelum ini pernah digunakan oleh keluarga suspek bagi menyimpan pelbagai barangan binaan.

"Namun, selepas kematian kedua-dua ibu bapanya, kilang terbabit tidak lagi beroperasi namun suspek mengambil kesempatan menggunakan kilang itu untuk menyimpan dadah.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui sumber bekalan dadah diperoleh selain berapa lama kegiatan itu dilakukan," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, tiga lelaki ditahan menerusi operasi berasingan di sekitar ibu negara dan Selangor pada 15 sehingga semalam kerana terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

Menurutnya, menerusi enam serbuan yang dijalankan, pihaknya berjaya merampas 31.53 kg dadah dipercayai ganja dan 2,800 pil Erimin 5 bernilai RM122,025.

"Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah menjadikan kereta sebagai tempat penyimpanan dadah untuk mengelak diri dari dikesan pihak berkuasa.

"Dadah yang dirampas ini adalah untuk pasaran tempatan dan hanya diedarkan kepada kenalan rapat sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 4:06 PM