Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Helah penganggur menyewa dua kediaman mewah untuk dijadikan sebagai stor menyimpan dadah terbongkar selepas dia ditahan dalam serbuan di Jalan Bukit Palma 2, Kajang, Selangor, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yong Lei Choo berkata, pihaknya melakukan risikan terhadap sindiket pengedaran dadah berpusat di Brickfields, di sini, yang dipercayai aktif sejak September lalu.

Katanya, susulan maklumat diterima, pihak polis menahan lelaki berusia 31 tahun dalam serbuan pertama di lokasi terbabit pada 1.30 tengah hari.

"Dalam serbuan itu, kami merampas satu bungkusan teh cina mengandungi dadah disyaki jenis methaphetamin seberat 1.05 kilogram (kg).

"Hasil soal siasat dilakukan terhadap lelaki berkenaan, kami membuat satu lagi serbuan di unit kediaman di residensi berkenaan pada hari sama.

"Kami menemui 18 bungkusan dadah dipercayai heroin seberat 8.05 kg serta 3.12 kg dadah jenis methamphetamin yang diletakkan di dalam sebuah bilik di kediaman itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Lei Choo berkata, pihaknya membuat serbuan ketiga di unit kediaman di residensi mewah di Taman Teknologi Mint, Bangi, Selangor.

YONG (tengah) bersama pegawai dan anggotanya menunjukkan sebahagian dadah dirampas. FOTO Eizairi Shamsudin
YONG (tengah) bersama pegawai dan anggotanya menunjukkan sebahagian dadah dirampas. FOTO Eizairi Shamsudin

"Kami merampas 20 bungkusan teh cina mengandungi dadah jenis methamphetamin seberat 21.1 kg serta 28 bungkusan plastik lutsinar mengandungi dadah jenis heroin seberat 12.61 kg di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

"Dalam serbuan keempat pula, kami merampas wang tunai berjumlah RM60,520 di rumah teres dua tingkat di Jalan Taming Jaya, Balakong, Selangor," katanya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket jni adalah menyewa dua kediaman mewah sebagai tempat penyimpanan dadah yang dibayar pda harga RM1,200 hingga RM1,800 sebulan.

"Semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM1.17 juta dan boleh digunakan seramai 91,860 penagih.

"Hasil saringan awal dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC) dan tiada rekod jenayah.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula Rabu lalu hingga 26 Oktober ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti dari mana bekalan dadah berkenaan diperolehi serta individu lain yang terbabit dengan sindiket terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 5:02 PM