Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kabul: Pikul amanah besar rakyat Malaysia bagi memastikan rakyat Afghanistan yang dihambat isu kebuluran selain diasak musim sejuk melampau segera diberikan bantuan.

Tanggungjawab itu dipikul pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) dan Yayasan Amal Malaysia dengan mengadakan rundingan dan perbincangan bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tempatan di sini, semalam.

Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan berkata, melalui kempen 'Care4Afghan' dilancarkan sejak September lalu, pihaknya berjaya mengumpulkan sejumlah besar dana khusus untuk membantu rakyat Afghanistan yang berdepan isu kemanusiaan.

Menurutnya, pertemuan disertai wakil Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) Dr Ishak Ibrahim dan Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Jamuliddin Elias tadi bertujuan memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan secepat mungkin.

ZULKIFLI Wahijan mengadakan perbincangan bersama  Abdul Fatah Jawad  berhubung kaedah sumbangan yang boleh diatur segera.
ZULKIFLI Wahijan mengadakan perbincangan bersama Abdul Fatah Jawad berhubung kaedah sumbangan yang boleh diatur segera.

"Kami mengadakan sesi libat urus bersama NGO Humanitarian Assistance Society (HAS) dan pertubuhan Ehsas Welfare And Social Services Organization di sini tadi.

"Hasil perbincangan diadakan itu, MCM dan Yayasan Amal Malaysia bersetuju membiayai sepenuhnya pembinaan 67 telaga tiub di beberapa wilayah yang dikenal pasti.

"Langkah ini diputuskan susulan ramai penduduk negara ini masih bergantung kepada sungai dan sumber air tercemar. Pembinaan telaga tiub ini mampu membekalkan sumber air bawah tanah yang bersih kepada ribuan penduduk Afghanistan di luar kota ini," katanya.

Selain itu pihaknya turut akan menyumbangkan sebanyak 650 bakul makanan bernilai RM220 setiap satu.

" Setiap bakul makanan itu berisi tepung gandum, beras, minyak, kacang, gula dan pelbagai keperluan lain dalam kuantiti besar. Ia bagi memastikan bekalan itu dapat bertahan lama sepanjang musim sejuk yang melanda.

"Selain itu kami turut membeli 500 helai baju sejuk yang akan disalurkan kepada golongan remaja dan kanak-kanak Afghanistan. Ketibaan musim sejuk dibimbangi boleh menyebabkan ramai rakyat negara ini tambah menderita," ujarnya.

Beliau berkata, semua barangan yang mahu disumbangkan itu dalam proses pembelian dan pengumpulan sebelum diserahkan terus kepada golongan daif terbabit esok.

Ahad lalu, MCM dan Yayasan Amal Malaysia turut menyumbangkan 60 bakul makanan di wilayah Herat, barat Afghanistan melalui kerjasama MCM dengan pertubuhan kebajikan Ehsas Welfare And Social Services Organization di Afghanistan.

Sumbangan terbabit khusus diberikan kepada golongan warga emas dan ibu tunggal di wilayah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 10:36 AM