ANTARA wajah anak-anak yatim Afghanistan di Kota Herat yang dibantu Muslim Care Malaysia (MCM) dan Yayasan Amal Malaysia semalam.
ANTARA wajah anak-anak yatim Afghanistan di Kota Herat yang dibantu Muslim Care Malaysia (MCM) dan Yayasan Amal Malaysia semalam.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


HERAT: Yatim, miskin papa dan tidak berpeluang mendapat pendidikan formal di sekolah. Itu antara nasib malang beribu kanak-kanak Afghanistan di bandar ini yang dibantu pertubuhan Ehsas Welfare And Social Services Organization di Afghanistan.

Lebih menyedihkan apabila masa hadapan kanak-kanak ini terus kabur susulan kurangnya kemudahan disediakan pemerintah sebelum ini dalam memastikan nasib golongan ini dibela.

Salah seorang sukarelawan pertubuhan itu, Holam Saddiq, 21, memaklumkan, pihaknya hanya berupaya memberikan bantuan USD 5 ( RM22 ) sebulan kepada kanak-kanak malang itu hasil derma diperolehi.

Selain itu golongan miskin itu diberikan bantuan bekalan makanan yang dihantar terus ke rumah mereka.

"Tidak banyak yang dapat dilakukan selain kami turut mengadakan kelas membaca Al-Quran, kelas untuk buta huruf selain kelas kemahiran menjahit. Usaha ini dilakukan dengan harapan mereka mampu berdikari suatu hari nanti.

"Ada antara wang sumbangan ini diperolehi dari rakyat Afghanistan yang bekerja di luar negara," katanya ketika menerima lawatan Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Zulkifli Wahijan bersama barisan Exco MCM, wakil Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) Dr Ishak Ibrahim dan Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Jamuliddin Elias petang semalam.

Sementara itu Zulkifli berkata, pihaknya bersimpati terhadap nasib dialami anak-anak yatim yang dilindungi Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Afghanistan itu.

"Walaupun berdepan kekangan dana namun mereka tetap bersemangat untuk membantu sedaya termampu.

"Berikutan itu kami turut menyalurkan sumbangan sebanyak 60 bakul makanan kepada golongan memerlukan ini membabitkan kos hampir RM13,000. Bantuan seumpama ini akan diteruskan bagi membantu saudara seIslam kita di negara ini," katanya.

Pada majlis ringkas semalam, pihak MCM, Papisma dan Yayasan Amal disambut oleh kumpulan anak-anak yatim ini serta penjaga masing-masing di pusat NGO berkenaan.

 SESI penjelasan diberikan pihak sukarelawan pertubuhan Ehsas Welfare And Social Services Organization kepada deligasi NGO Malaysia di Herat semalam.
SESI penjelasan diberikan pihak sukarelawan pertubuhan Ehsas Welfare And Social Services Organization kepada deligasi NGO Malaysia di Herat semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 10:49 AM