KEJADIAN van sekolah terbabit dalam kemalangan kerap dilaporkan.
KEJADIAN van sekolah terbabit dalam kemalangan kerap dilaporkan.
Fazurawati Che Lah


BAS sekolah ‘tin sardin’ antara alasan ramai ibu bapa mempunyai anak bersekolah bertukar kepada kenderaan sekolah haram yang tidak berdaftar.

Keutamaan keselesaan anak-anak ketika pergi dan pulang dari sekolah antara alasan diberikan selain tambang yang dikenakan jauh lebih murah.

Tinjauan penulis di beberapa sekolah di ibu negara mendapati banyak kenderaan haram digunakan sebagai bas sekolah untuk mengambil murid sama ada menggunakan van, kereta atau motosikal.

Turut didapati, pemilik motosikal yang mengambil upah untuk kegiatan itu membawa pembonceng melebihi muatan. Ada kalanya tiga murid membonceng setiap perjalanan sehala selain kenderaan sarat dengan beg sekolah.

Penunggang motosikal yang dikenali Mak Cik Sarah, sudah menjalankan aktiviti menghantar murid sekolah sejak lima tahun mengakui mempunyai lebih 10 murid untuk dihantar ke sekolah setiap hari.

Katanya, dia mengenakan tambang sebanyak RM35 sebulan dan kebanyakan murid yang dibawanya dari empat sekolah berhampiran.

“Disebabkan mengejar masa dan harus menguruskan ramai murid, setiap satu perjalanan saya akan bawa dua atau tiga murid untuk dihantar.

“Kebanyakan murid ini tinggal berdekatan sekolah iaitu antara jarak dua atau tiga kilometer sahaja,” katanya yang menjalankan kegiatan itu sekitar Shah Alam, Selangor.

Sementara itu, pemandu van sekolah tanpa permit yang dikenali Marsita berkata, ramai ibu bapa memilih untuk mengupah pemandu kenderaan serba guna (MPV) untuk menghantar dan mengambil anak dari sekolah kerana keselesaan.

PELAJAR menunggu bas selepas tamat masa sekolah. -Foto NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN.
PELAJAR menunggu bas selepas tamat masa sekolah. -Foto NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN.

“Van saya ini boleh membawa muatan seramai 14 orang setiap satu perjalanan. Sebanyak enam perjalanan dilakukan untuk mengambil selain menghantar pelajar dari rumah ke sekolah dan sebaliknya.

“Bagi menjaga kualiti perkhidmatan, saya tidak akan bawa muatan lebih. Jika saya buat demikian, ibu bapa akan merungut jika dapati anak mereka tidak selesa.

“Biasanya pelajar yang menaiki bas sekolah akan diturunkan di satu tempat dan disebabkan terlampau ramai yang menaiki bas, maka ada yang akan tercicir. Situasi inilah yang mengundang kegusaran ibu bapa, seterusnya memilih untuk mencari pemandu ‘khas’ untuk anak,” katanya yang menyediakan perkhidmatan itu bersama suami.

Bagi penjawat awam, Norhaslina Mohd Nor, 36, pula perkhidmatan bas sekolah perlu mengutamakan keselesaan dan keselamatan kepada pelajar dengan tidak mementingkan keuntungan semata-mata.

Katanya, kasihan apabila pelajar terpaksa berhimpit sesama mereka di dalam bas sehinggakan ada bas kelihatan tidak stabil atau ‘sengit’ ketika bergerak.

“Kita tidak dapat menjangkakan kemalangan, situasi berhimpit di dalam bas turut boleh mengundang pelbagai masalah yang tidak dijangkakan, pelajar boleh berdepan masalah pernafasan selain risiko terjatuh ketika bas membrek secara mengejut,” katanya.

Pengawal keselamatan, Azman Kassim, 48, pula berpendapat, ibu atau bapa sukar menghantar dan mengambil anak di sekolah kebanyakannya disebabkan kekangan kerja.

ABD Samat memangku jenazah isterinya yang maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang. FOTO Ihsan Pembaca
ABD Samat memangku jenazah isterinya yang maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang. FOTO Ihsan Pembaca

“Jika mahu mengupah pemandu ‘khas’ untuk tujuan itu, pastikan kenderaan yang digunakan adalah selamat.

“Jangan kerana mahu jimat, nyawa anak tergadai. Misalnya mengupah penunggang motosikal. Kita semua tahu motosikal paling banyak terbabit dengan kemalangan,” katanya yang bersyukur kerana waktu kerja yang fleksibel membolehkan dia menghantar dan mengambil anaknya di sekolah.

Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besi, Selangor, Salinaz Saad berkata, keselamatan pelajar bukan hanya setakat di luar tetapi turut membabitkan kawasan di dalam sekolah.

Justeru, katanya, Kementerian Pendidikan memperkenalkan buku aktiviti Pendidikan Keselamatan Jalan Raya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk sekolah rendah dan menengah.

“Pelajar sebenarnya sentiasa didedahkan dengan hal berkaitan keselamatan oleh guru sejak dari sekolah rendah.

“Dalam proses pendedahan ini, kerjasama daripada ibu bapa turut diperlukan bagi memastikan keselamatan anak-anak terjamin. Ibu bapa turut memainkan peranan terutama berkaitan kegiatan anak di luar sekolah,” katanya.

PENGAWAL keselamatan menjaga kawalan lalu lintas di hadapan sekolah.
PENGAWAL keselamatan menjaga kawalan lalu lintas di hadapan sekolah.

Katanya, bagi memastikan keselamatan pelajar, sekolah tidak membenarkan pelajar menunggang motosikal sekiranya tidak memiliki lesen memandu.

“Bukan setakat keselamatan di luar, pihak sekolah kami turut menyediakan laluan pejalan kaki bagi mengelak pelajar bertembung dengan kenderaan guru.

“Inisiatif yang diperkenalkan itu sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada pelajar mengenai keselamatan di jalan raya,” katanya.

Sementara itu, Guru pendidikan khas Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tun Aminah, Skudai, Johor, Mohd Firdaus Maskan berkata, selain bas sebagai pengangkutan ke sekolah, basikal turut digemari pelajar untuk tujuan

itu.

LALUAN pejalan kaki diutamakan di dalam kawasan sekolah.
LALUAN pejalan kaki diutamakan di dalam kawasan sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 11:45 AM